Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Boleh guna kertas ruqyah tapi jangan meniaga – Mufti Pahang

Beberapa hari lepas tular video memaparkan produk digelar kertas ruqyah (ruqyah paper) yang didakwa boleh menyembuhkan gangguan sihir, jin dan ‘penyakit ain’.

Dijual pada harga bermula RM131, kertas ruqyah itu diperkenalkan oleh sebuah syarikat di luar negara dan giat dipromosikan di laman sosial Tik.

Video selama 1 minit 5 saat yang dikongsi di laman X itu bagaimanapun mengundang reaksi orang ramai yang rata-ratanya beranggapan perbuatan itu salah dari sudut agama.

Mengulas perkara itu, Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berkata, amalan menulis ayat Quran di atas kertas lalu direndam dan diminum airnya adalah dibenarkan namun hanya dengan menggunakan dakwat jenis saffron yang boleh dimakan.

“Jika ditulis dengan dakwat seperti saffron, itu tidak salah, ada ditulis di kitab-kitab tafsir. Kalau ditulis menggunakan dakwat yang memudaratkan itu tidak boleh,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun katanya amalan itu hanya digalakkan sebagai ikhtiar untuk merawat penyakit dan bukan untuk diniagakan.

“Dalam konteks perniagaan pula, ia bukan untuk diniagakan. Kita nak amalan itu berkat. Dalam Islam kita disarankan untuk membaca ayat-ayat al-Quran.

“Kita tidak mahu peniaga menyalahgunakan ayat al-Quran dan tidak mahu ia dijadikan mainan,” katanya lagi.

Abdul Rahman juga berkata Islam tidak membenarkan air yang dibacakan ayat al-Quran dilabel dan kemudiannya dijual untuk mendapatkan keuntungan.

“Air yang dibaca seperti khatam Quran, surah Yasin, ia tidak boleh dilabel untuk dijual. Kita tak nak begitu dan tidak dibenarkan untuk menulis begitu," jelasnya.

Mengenai produk berkenaan, Abdul Rahman mencadangkan ia diperhalusi jawatankuasa fatwa sekiranya mahu dibawa masuk ke negara ini.

“Kita harus bawa isu ini untuk dibincangkan ke jawatankuasa fatwa. Jika produk ini hendak masuk ke Malaysia, ia juga haruslah mendapat kebenaran dari pihak Jakim,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS