Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis berkumpul dekat pejabat Bersih, ‘apa khabar reformasi?’
Diterbitkan:  Feb 7, 2024 1:58 PM
Dikemaskini: 8:00 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan kenyataan presiden Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz.


Bersih  menyelar kehadiran ramai pegawai polis di kawasan pejabat mereka di Petaling Jaya ketika sidang media berkaitan pengurangan hukuman terhadap Najib Razak.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai “gangguan”, kumpulan pendesak itu menyindir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang menjaga hal ehwal polis.

“Lama tak jumpa. 

“Apa khabar reformasi?” katanya di X kepada  Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR.

Bersih juga memuat naik gambar kenderaan polis dan sekumpulan anggotanya berkumpul di sekitar pejabat mereka.

“Kehadiran ramai pegawai polis susulan sidang akhbar berkaitan (permohonan) pengampunan Najib dan tuntutan #Reformasi100peratus.

“Adakah gangguan sebegini benar-benar mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan Madani?” soal mereka di media sosial.

Semalam, Bersih tidak menolak kemungkinan berdemonstrasi bagi membantah pengurangan hukuman Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Pengerusi badan pemantau pilihan raya itu Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata mereka “menuju ke arah itu” tetapi perlu membina momentum dahulu.

Bersih menolak pengurangan hukuman terhadap Najib atas alasan ia menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Bersih berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib jelas menunjukkan dia "merompak wang negara".

Sidang media Bersih hari ini yang menuntut reformasi 100 peratus

Sementara itu, presiden Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz memberitahu Malaysiakini, kira-kira 10 anggota polis berada di sekitar pejabat mereka.

Mereka bagaimanapun hanya menyedarinya selepas sidang media selesai.

“Mereka yang memakai pakaian seragam tidak masuk ke pejabat, mereka juga tunggu di bawah.

“Tetapi kami tidak pasti jika ada (pegawai) Cawangan Khas masuk (ke sidang media),” katanya.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Faisal juga berkata terdapat dua trak polis dan beberapa motosikal polis dilihat di kawasan itu.

Dia juga mendedahkan mereka meninggalkan kawasan itu selepas sidang media tamat.

“Mungkin sebab tiada apa yang kontroversi, jadi mereka pergi,” katanya.

Belum beli garam

Sementara itu, dalam status lain, Bersih juga memberi bayangan akan mengadakan perhimpunan bantahan susulan perkembangan terkini.

“Belum beli garam lagi,” kata NGO itu.

Di Malaysia, peserta demonstrasi biasanya akan mengemam sedikit garam bagi mengurangkan kesan gas pemedih mata. 

Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun dan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, jika bekas presiden Umno itu gagal membayar denda hukuman penjara akan ditambah setahun lagi.

Najib kini merengkok di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS