Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inspektor, 7 pegawai rendah ditahan terkait kes pemerasan
Diterbitkan:  Feb 7, 2024 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Seorang inspektor dan tujuh pegawai rendah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor Bahru, ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang wanita tukang cuci.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata semua individu terbabit yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima pada jam 9.32 malam Isnin lalu.

"Polis Kontinjen Johor menerima laporan berkaitan kes pemerasan wang berjumlah RM32,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam.

"Kes masih berada di peringkat siasatan dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan semua lapan individu terbabit direman empat hari mulai semalam.

Menurutnya polis sentiasa komited memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan anggota keselamatan berkenaan demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia.

"Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi, berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Lembaga Persekutuan," katanya.

Sebelum ini, tular satu laporan dipercayai berhubung tangkapan semua pegawai polis itu di aplikasi Telegram.

Laporan berkenaan menyatakan seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci mendakwa seorang anggota polis telah meminta wang sebanyak RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan kerana kes dadah.

Wanita terbabit mendakwa dia hadir di IPD Seri Alam untuk menyerahkan wang berjumlah RM35,000 sebelum membuat laporan polis apabila mendapati adiknya masih tidak dibebaskan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kumar berkata 15 lelaki berusia 20 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki berusia di Route 66, Jalan Abdullah Tahir, Johor Bahru pada Ahad lalu.

Katanya polis menerima laporan berhubung kes pembunuhan individu berusia 24 tahun itu pada 4.54 petang.

Tambahnya semua lelaki terbabit ditahan di beberapa lokasi berasingan pada Ahad dan Isnin. Seorang daripada suspek, katanya, berusia lingkungan 30-an ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dari Bangkok, Thailand.

"Setakat ini polis masih menyiasat motif kejadian pembunuhan ini. Semua individu itu direman tujuh hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi IPD Johor Bahru Utara di talian 07-2182323 atau pegawai penyiasat ASP Muhammad Afdhal Mat Saupi di talian 013-7711152.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS