Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbadanan Kemajuan Perak saman pengerusi PSM kerana fitnah

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menyaman pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Michael Jeyakumar Devaraj atas dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan pengusiran petani di Kanthan tahun lepas.

Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, aktivis itu mengesahkan menerima saman berkenaan berhubung kenyataannya yang dibuat pada 1 Nov tahun lepas dalam satu sidang media, ketika dia menemani sekumpulan petani berkenaan membuat laporan di balai polis Kanthan.

Jeyakumar berkata dia akan memanggil peguam untuk menjawab writ saman berkenaan, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Jan tahun ini.

Menurut salinan pernyataan tuntutan tersebut, PKNP mendakwa kenyataan Jeyakumar adalah fitnah kerana secara palsu membayangkan badan berkanun itu telah melanggar perintah mahkamah interim.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan penangguhan sementara terhadap enam petani di Kanthan.

Keputusan itu adalah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh petani berkenaan, yang ditetapkan untuk pendengaran bulan depan.

PKNP menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Ipoh pada 4 Jan lalu memutuskan bahawa plaintif tidak melanggar perintah interim, dan menolak permohonan petani terbabit untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap badan berkanun itu.

Plaintif menyatakan bahawa walaupun petani berkenaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, perintah Mahkamah Tinggi itu sendiri masih sah dan boleh dikuatkuasakan.

"Keputusan Mahkamah Tinggi dalam menolak Kebenaran untuk Komital bukan sahaja menunjukkan bahawa Plaintif tidak melanggar Perintah Penggantungan Interim tetapi juga dengan jelas menunjukkan bahawa Dr Jeyakumar dan/atau PSM telah membuat dan/atau menyebarkan dakwaan palsu mengenai keingkaran Plaintif yang dikatakan tersebut mengenai Perintah Penggantungan Interim,” kata plaintif.

PKNP mendakwa reputasi perniagaannya terjejas akibat kenyataan Jeyakumar, antaranya mengalami kehilangan keyakinan daripada bakal pelabur, rakan kongsi perniagaan dan rakyat Perak.

Plaintif, yang berbangga dengan pembangunan sosio-ekonomi telah menerima tindak balas negatif (backlash) daripada orang awam; hilang kepercayaan dari pekerja-pekerjanya dan ini telah menjejaskan semangat mereka.

Badan itu juga mengatakan telah kehilangan kelebihan daya saing dan kelebihan berbanding syarikat lain di Perak.

Sehubungan itu PKNP menuntut Dr Jeyakumar dan PSM untuk relif-relif termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, serta perintah untuk memaksa Jeyakumar dan PSM menerbitkan permohonan maaf.

Plaintif juga memohon injunksi untuk membuang kesemua penerbitan dan video sidang media itu, serta perintah untuk menghalang Jeyakumar dan PSM daripada mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

PKNP menyaman Jeyakumar sebagai seorang individu atas kapasiti peribadinya dan sebagai pemegang jawatan pengerusi PSM, di mana parti itu disaman melalui defendan.

Plaintif diwakili oleh firma guaman MahWengKwai & Associates.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS