Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir 20 tahun SMK Sering beroperasi tanpa sijil perakuan siap

Sejak awal beroperasi pada 2005, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering di Kota Bharu, Kelantan didakwa tidak mempunyai sijil kelayakan menduduki (CF) atau kini dikenali sebagai sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC).

Perkara itu didedah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sering, Sukri Mamat, selepas pihaknya mendengar rungutan dan kebimbangan disuarakan ibu bapa terhadap aspek keselamatan anak-anak mereka di sekolah.

Menurutnya, pihak PIBG juga sudah mengemukakan permasalahan itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan namun tiada tindakan susulan diambil setakat ini.

"Justeru saya juga mengemukakan aduan melalui surat kepada menteri pendidikan bertarikh 23 Jan lalu dan masih menanti sebarang perkembangan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perkara ini.

"Isu ini menyentuh soal keselamatan para pelajar sepanjang mereka berada di sekolah sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini sekali gus isu ketiadaan CCC ini akan berbangkit.

"Jadi kami barisan kepimpinan PIBG perlu bersuara sebelum perkara ini terus terbiar tanpa diambil tanggungjawab oleh pihak-pihak berwajib," katanya ketika ditemui media di luar pekarangan sekolah berkenaan, semalam.

Turut hadir, Ketua PKR Pengkalan Chepa, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain.

Harap menteri ada kelapangan

Tinjauan Malaysiakini mendapat sekolah berkenaan mempunya satu blok pentadbiran dan empat blok pembelajaran, sebuah surau dan satu bangunan kuanters guru selain dewan dan kantin.

Mengulas lanjut, Sukri berkata, isu ketiadaan CCC tercetus selepas guru-guru yang tinggal di kuanters diarahkan keluar dan bangunan berkenaan kini terbiar tanpa dihuni.

Menurutnya, pada peringkat awal kuanters tersebut digunakan oleh guru namun pada 2022 mereka diarahkan keluar dari bangunan berkenaan.

“Bermula dari kes tersebut isu melibatkan CCC berbangkit dan kami baru menyedari mengenai perkara ini.

"Kuanters guru tersebut mempunyai lapan unit rumah, susulan kes ketiadaan CCC ini juga menyebabkan ia terbiar tanpa dimanfaatkan oleh guru-guru yang berkeperluan.

"Ini sudah tentu satu perkara yang merugikan," katanya.

Selain itu, tambah Sukri, semakan terhadap pelan pembinaan sekolah itu juga gagal ditemukan termasuk tiada dalam simpanan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Berdasarkan situasi itu katanya PIBG SMK Sering amat mengharapkan kelapangan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk turun padang bagi melihat sendiri keadaan di sekolah terbabit.

Sukri berkata, pihaknya kini turut memerlukan dana untuk membina pagar padang sekolah yang berada di sebelah sekolah.

"Kedudukan padang sekolah berada di luar pagar sekolah, jadi ia menjadi padang terbuka sekali gus mudah dicerobohi haiwan ternakan penduduk sekitar.

"Justeru kami di pihak PIBG terbuka untuk menerima sebarang bantuan, perbincangan dan perhatian daripada pihak-pihak bertanggungjawab agar permasalah-permasalahan yang dihadapi ini dapat diselesaikan," jelasnya.

Untuk rekod SMK Sering mempunyai 547 orang pelajar, 52 guru dan 21 kakitangan 21.

CCC hanya dikeluarkan oleh orang orang utama yang mengemukakan (prinsipal submitting person atau PSP) yang terdiri daripada arkitek, jurutera profesional dan pelukis pelan berdaftar.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula berperanan sebagai badan yang menjalankan proses semak dan imbang, memandangkan CCC dikeluarkan oleh PSP melalui peraturan yang ada pada mereka.

Namun PBT boleh menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 70(23)(a) dan (b), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 untuk menjalankan pemeriksaan semasa proses pembinaan bagi memastikan bangunan terbabit mematuhi pelan yang diluluskan.

Sekiranya wujud sebarang ketidakpatuhan, PBT boleh menahan pengeluaran CCC.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin, berkata pihaknya hanya membuat semakan berkaitan pelan tapak merangkumi akses perkasas bomba, kedudukan pili bomba serta kecerunan laluan.

“Pelan bangunan (piawaian) pula diluluskan di peringkat ibu pejabat (Putrajaya).

"Pemeriksaan bangunan sebelum diduduki juga dilibatkan bomba,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respon daripada KPM, JKR, dan PBT berhubung perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS