Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak benar Yeo's guna darah babi dalam produk
Diterbitkan:  Feb 6, 2024 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

SEMAK FAKTA | Pengilang minuman Yeo’s yang terkenal di Malaysia dan Singapura, telah dituduh secara salah mempromosikan minuman baru yang berasal daripada darah babi.

Bagaimanapun, semakan mendapati nama syarikat minuman itu secara salah dikaitkan dengan syarikat Belgium Veos, yang pada Mei mengumumkan ciptaannya untuk menghasilkan air yang boleh diminum daripada darah haiwan.

Isu berkenaan menjadi tular di kalangan netizen Malaysia selepas stesen webTV, Media Mulia TV yang pemiliknya sama dengan Utusan Malaysia - mengeluarkan buletin berita mengenai inovasi syarikat Belgium itu.

Walaupun Veos tidak menyatakan jenis darah haiwan yang digunakannya, Media Mulia TV dan Utusan Malaysia mengetengahkan laporannya sebagai ‘Darah babi diproses jadi minuman’.

Artikel Utusan Malaysia perlu dibayar untuk bacaan manakala video TikTok oleh stesen webTV yang diterbitkan pada 9 Jun 2023 boleh diakses oleh semua dan telah dikongsi lebih daripada 3,000 kali.

Sejak itu, terdapat pelbagai versi video yang muncul di media sosial.

Satu versi yang menjadi tular di aplikasi pemesejan WhatsApp termasuk kapsyen yang mendakwa pengeluar minuman Yeo’s mengeluarkan minuman baru yang diperbuat daripada darah babi dan harus diboikot.

"Hindari minuman jenama Yeos mulai dari sekarang. Kita tak tahu bila jenis minuman itu akan diedarkan,” kata mesej itu.

Mesej itu juga turut menyertakan video berita Media Mulia TV dengan petikan, "kita berada di akhir zaman."

Jakim: Yeo pemegang sijil halal

Menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Yeo’s - atau Yeo Hiap Seng (M) Sdn Bhd - mempunyai pensijilan halal yang sah.

Jakim pada 2 Feb menafikan dakwaan Yeo’s mengeluarkan minuman dengan air, bersumberkan darah babi.

Ia melakukan perkara yang sama pada Jun lalu, selepas laporan Media Mulia diterbitkan, menyebabkan dakwaan berkenaan tular.

"Syarikat yang dimaksudkan dalam video (Media Mulia TV) berkenaan ialah Syarikat Veos yang beroperasi di negara Belgium dan tiada sebarang kaitan dengan produk jenama Yeo's keluaran Syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn Bhd yang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah,” kata Jakim.

Kumpulan Veos di Belgium menumpukan pada pemprosesan produk sampingan haiwan sebagai sebahagian daripada ekonomi kitaran semula.

Ia menghasilkan produk sampingan haiwan menjadi protein untuk pelbagai industri dan untuk melakukannya ia memerlukan kuantiti air yang banyak.

Ciptaannya menangkap wap yang dibebaskan daripada darah haiwan daripada proses pengeluaran, yang kemudiannya dibiarkan terpeluwap sehingga ia menjadi air.

“Air ini kemudiannya dimurnikan oleh pemasangan pembersihan air baru supaya ia boleh digunakan semula dalam proses pengeluaran.

"Hasilnya kami menggunakan sehingga 40c peratus kurang air bawah tanah, bersamaan dengan 45,000,000 liter air untuk setiap tahun,” kata Veos pada kenyataan akhbarnya Mei lalu.

Malaysiakini sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta tuntutan dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip di 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.

https://api.whatsapp.com/send?phone=60174776659&text=Hello%2C%20this%20is%20JomCheck!%20We%20are%20a%20fact-checking%20coalition.%20Want%20a%20claim%20checked%3F%20Feel%20sus%20over%20what%20you%20see%20online%3F%20Send%20it%20over%20to%20us%20at%20this%20number!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS