Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM akan siasat bekas PM, menteri kewangan terbabit kes Spanco
Diterbitkan:  Feb 6, 2024 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

SPRM akan menyiasat semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd pada 1990-an.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata, mereka termasuk perdana menteri dan menteri kewangan ketika  itu.

Dia dipetik oleh Berita Harian semasa Program Cakna Rasuah Bersama Pengamal Media Sarawak, di Kuching,  hari ini sebagai berkata, keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Kita akan panggil sesiapa saja yang membuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk memberi projek kepada Spanco.

"Kita lihat sejarah penubuhan syarikat itu pada 1998 atau 1999, jadi sesiapa saja yang terbabit ketika itu termasuk perdana menteri dan menteri kewangan akan panggil untuk rekod kenyataan dan mengetahui apa yang mereka tahu berkenaan kes," katanya.

Spanco menjadi syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1993.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan Spanco sebagai hanya merugikan negara dan berjanji tindakan penguatkuasaan tegas termasuk oleh SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, dalam memerangi rasuah dan penyelewengan.

Dia memetik kes Spanco sebagai contoh antara usaha kerajaan membasmi rasuah.

Bulan lalu, SPRM menyerbu rumah seorang taikun, serta pejabat dan syarikat yang berkaitan dengan ahli perniagaan itu, sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas Spanco.

Dokumen mengenai 100 akaun persendirian dan korporat dilaporkan turut dirampas untuk siasatan semasa serbuan berkenaan.

Susulan itu, akaun bank hartawan yang dikatakan memiliki  puluhan juta ringgit tersebut, dilaporkan dibekukan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS