Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Felda perlu pastikan sektor kelapa sawit tak senasib getah

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempunyai peranan penting dalam memastikan kelestarian industri sawit Malaysia supaya nasib yang menimpa sektor getah negara dapat dielakkan kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani.

Katanya menerusi pemilikan tanah perladangan terbesar seluas 800,000 hektar di Malaysia, Felda perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan itu dengan meningkatkan pengeluaran dan menumpukan sektor hiliran.

"Cuba bayangkan (bagaimana keadaannya), jika kita tidak terlibat dalam industi hiliran selama 15 hingga 30 tahun akan datang.

"Saya tidak mahu melihat industri sawit yang dikendalikan oleh Felda ini menjadi senasib seperti getah.

"Getah pada sesuatu ketika, kita ialah pengeluar terbesar di dalam dunia.

“Hari ini, kita menjadi pengeluar produk getah yang utama tetapi kita mengimport getah asli dari Vietnam dan Thailand kerana perlu memenuhi permintaan industri dan jika tidak (import) kita tidak cukup getah.

"Tetapi yang anehnya, kita ada 420,000 hektar (penanaman) pokok getah yang melibatkan 290,000 pekebun kecil," katanya dalam ucaptama di Simposium Felda 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Johari berkata pada 2013 Malaysia mengeluarkan 19.5 juta tan sawit manakala Indonesia menghasilkan 26 juta tan.

Namun katanya dalam tempoh 10 tahun, pengeluaran negara menurun kepada 18.5 juta pada 2023 manakala negara jiran itu terus meningkatkan hasil kepada 46.5 juta.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS