Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi pemimpin PH tampil pertikai larangan kritik pengampunan Najib
Diterbitkan:  Feb 5, 2024 9:30 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Seorang lagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) tampil membidas keputusan larangan atau cubaan menyekat pemimpin dan akar umbi daripada mengulas dan mengkritik keputusan pengurangan hukuman ke atas bekas presiden Umno, Najib Razak.

Terbaru, bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata, kepimpinan DAP tidak seharusnya membisu mengenai pendirian mereka.

Sebaliknya, menurutnya, pemimpin DAP harus mengulangi pendirian mereka mengenai skandal 1MDB, kes rasuah terbesar dalam sejarah Malaysia, yang menjadi modal kempen parti itu pada pilihan raya umum 2018 dan 2022.

“Ini mesti termasuk mengambil pendirian tegas bahawa kes 1MDB yang sedang berlangsung terhadap Najib harus diteruskan dan tidak mengalami nasib yang sama seperti 72 kes ‘pelepasan tanpa pembebasan (DNAA)’ terhadap Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ong juga berkata, kepimpinan DAP mesti membuat pendirian tegas  berhubung siasatan polis ke atas pemimpin DAP Tony Pua di bawah Akta Hasutan berhubung kritikannya terhadap keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman bekas perdana menteri itu.

Dia berharap PH tidak melupakan jasa bekas setiausaha publisiti DAP itu yang mendedahkan skandal 1MDB.

Tony Pua

Katanya, disebabkan skandal berkenaan rakyat Malaysia masih menanggung hutang berbilion ringgit.

"Kami masih ingat apa yang @tonypua lakukan, mendedahkan besarnya skandal 1MDB semasa beliau menjadi ahli parlimen. 

"Rakyat Malaysia masih membayar berbilion RM atas hutang yang ditanggung akibat skandal ini. Saya harap pimpinan @pakatanharapan_ jangan lupa," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggerakkan jenteranya supaya membuat laporan polis terhadap Pua kerana mendakwa mempersenda  keputusan Lembaga Pengampunan.

Dr Akmal Saleh

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula meminta pemimpin dan akar umbi PH supaya bertenang berhubung pengurangan hukuman terhadap Najib.

Begitu juga dengan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang menggesa supaya tidak mempertikai ketetapan yang telah dibuat Lembaga Pengampunan.

Selain Pua, bekas ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin (Amanah); ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim (PKR); ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (DAP) adalah antara pemimpin PH yang mempersoalkan pengampunan Najib.

Ong berkata, dalam gambaran yang lebih besar, kepimpinan DAP mesti mengulangi komitmen mereka untuk memerangi rasuah dan mempromosikan agenda reformasi institusi selaras dengan apa yang diperjuangkan sejak parti itu ditubuhkan pada 1965.

“Ia mesti komited untuk mendesak reformasi institusi yang dinyatakan dalam manifesto PH pada pilihan raya umum 2022.” katanya.

Antara lain, Ong berkata, pelantikan ketua pesuruhjya SPRM mesti diluluskan oleh jawatankuasa pilihan khas parlimen dwipartisan.

“Pengisytiharan harta oleh semua menteri, ahli Parlimen, penjawat awam kanan, dan pengerusi GLC serta ahli keluarga mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

“Pengenalan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) yang mengehadkan kekerapan dan skop rundingan terus.

“Had dua penggal atau 10 tahun bagi jawatan perdana menteri, menteri besar, dan ketua menteri,” katanya.

Ong turut menimbulkan tentang pemisahan kuasa Jabatan Peguam Negara kepada peranan peguam negara dan pendakwa raya.

“Akta Parlimen Tempoh Tetap. Pengenalan Akta Pembiayaan Politik.

“Peruntukan sama rata untuk semua ahli parlimen tidak kira sama ada dalam kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Dia berkata, kebanyakan daripada reformasi institusi ini juga akan disokong oleh parti komponen lain dalam kerajaan campuran persekutuan, terutamanya jika terdapat kemungkinan beberapa parti yang kini dalam kerajaan mungkin kembali menjadi pembangkang selepas pilihan raya umum akan datang.

“Sememangnya, saya berhujah bahawa meluluskan beberapa reformasi institusi ini akan membantu Umno untuk menunjukkan pengundi, termasuk pengundi Melayu, bahawa ia boleh menyelaraskan dirinya dengan prinsip tadbir urus yang baik dan institusi yang lebih kukuh,” kata Ong.

Dia berhujah bahawa meluluskan beberapa undang-undang dan peraturan institusi ini akan membantu DAP dan PH meyakinkan penyokong mereka bahawa agenda reformasi masih boleh dilaksanakan walaupun Najib akan menerima pengampunan penuh pada masa depan.

“Sekiranya komitmen ini tidak dapat dilaksanakan, DAP dan PH berdepan kemungkinan sebenar bahawa kadar peratusan keluar mengundi di kalangan penyokongnya akan mengalami kejatuhan yang ketara pada pilihan raya umum akan datang dan sebahagian penyokong mungkin menukar sokongan mereka kepada Perikatan Nasional kerana meluat dengan kekurangan kepimpinan moral di kalangan pemimpin DAP dan PH.

“Adalah penting bagi kepimpinan DAP untuk mengingatkan dirinya bahawa ia tidak boleh hanya bergantung kepada ketakutan kepada PAS untuk berkuasa bagi mengekalkan sokongannya di kalangan masyarakat bukan Melayu.

“Sekiranya ini strategi bergerak ke hadapan, maka DAP tidak akan jauh bezanya dengan MCA yang dahulu bergantung dengan menakutkan pengundi Cina supaya  menyokong BN agar masyarakat Cina bimbang tidak akan mempunyai sebarang perwakilan dalam kerajaan,” kata Ong.

Katanya, Loke mesti disokong oleh jawatankuasa eksekutif pusat DAP supaya tanggungjawab dan komitmen kolektif dilihat datang daripada pemimpin tertinggi parti.

“Ramai penyokong DAP sangat bersabar dengan banyak perkembangan politik yang berlaku sejak pembentukan kerajaan campuran pada November 2022 demi kestabilan politik.

“Tetapi kesabaran mereka semakin menipis. Kesesuaian politik demi kestabilan politik hanya boleh pergi setakat ini. Sudah tiba masanya untuk kepimpinan DAP bersuara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS