Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Akar umbi Umno puas hati penjelasan keputusan Lembaga Pengampunan'

Para ketua bahagian Umno berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan berhubung sebab bekas perdana menteri Najib Razak tidak diberi pengampunan penuh.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki selepas sesi taklimat tertutup bersama presiden, Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama, Asyraf berkata ketua-ketua bahagian yang hadir juga sebulat suara setuju dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk meneruskan usaha mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib.

"Kesemua pimpinan sepakat bersatu hati meneruskan usaha pembelaan terhadap Najib.

"(Pada masa sama) kita menghormati keputusan dibuat kerana Perlembagaan menyatakan ini (pengampunan) kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa," katanya ketika ditemui pemberita.

Asyraf turut menggesa semua pihak agar tidak lagi mempertikaikan keputusan yang telah dibuat Lembaga Pengampunan.

Pada Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan secara rasmi mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan dari 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM120 juta kepada RM50 juta.

Hari ini Umno mengadakan perjumpaan tertutup bersama-sama kepimpinan bahagian dan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bagi menjelaskan keputusan mesyuarat khas MKT yang diadakan semalam.

Seramai 145 ketua daripada 191 bahagian hadir.

Tidak jelas butiran penjelasan yang diberikan Zahid dalam sesi tersebut yang berjalan kira-kira dua jam.

Namun, Ahli MKT Umno Ahmad Maslan berkata Zahid - yang juga timbalan perdana menteri - telah berusaha sebaiknya untuk mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib.

Semalam, seorang lagi ahli MKT, Lokman Adam berkata Umno akan meneruskan usaha bagi mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib dengan membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Antara pemimpin Umno yang hadir pada perjumpaan petang tadi ialah naib presiden Wan Rosdy Wan Ismail dan ketua Wanita Noraini Ahmad.

Turut hadir adalah ahli MKT termasuk Ahmad, Bung Moktar Radin, Ahmad Said, Azalina Othman Said serta Pengerusi Umno Johor Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Turut kelihatan adalah anak perempuan Najib, Nooryana Najwa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS