Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat Pua sindir hukuman Najib dikurangkan
Diterbitkan:  Feb 4, 2024 6:17 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Polis telah memulakan siasatan ke atas pemimpin DAP Tony Pua di bawah Akta Hasutan berhubung kritikannya terhadap keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kenyataan Pua bersifat menghasut kerana mengkritik kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan serta turut mengajak orang ramai membenci institusi diraja.

Dalam kenyataan hari ini, Razarudin berkata polis telah memanggil bekas ahli parlimen Damansara itu untuk memberi keterangan di Bukit Aman pada satu tengah hari esok.

"Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kenyataan Tony Pua menghina institusi diraja yang telah dimuat naik di Facebook.

"Kenyataan seperti itu bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata Razarudin.

Menurut kenyataan Razarudin, antara yang disiasat adalah siri hantaran Facebook yang dibuat Pua yang mengkritik keputusan pengurangan hukuman Najib.

Berikut adalah hantaran yang disiasat:

“Trust me. It’s not a scam”

“Oh wow. After all these years, Najib/UMNO cybertroopers still love me...

“I beg your pardon?”

“Can someone send me to jail for 1 year and in exchange, pay me RM50mil? Pretty please?”

“King Klep pardoned!!”

Dalam respons segeranya, Pua mengesahkan dia dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman esok.

'Ah. Tiada jalan keluar.

"IGP sendiri bertindak sangat pantas, sangat cekap, kerja lebih masa di hari Ahad, memberi perhatian kepada laporan, agaknya yang dibuat oleh orang Umno," katanya.

"Saya disiasat atas dakwaan menghasut ekoran hantaran 'I beg your pardon' di Facebook. Doakan saya," katanya lagi.

Kekecewaan pelbagai pihak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International.

Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan kemudian memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda RM50 juta.

Dengan itu, hukuman penjara Najib dijangka berakhir pada 23 Ogos 2028, namun dia boleh dibebaskan seawal Ogos 2026 - selepas menjalani dua pertiga tempoh hukuman - atas dasar "berkelakuan baik".

Sejak keputusan itu diumumkan secara rasmi pada Jumaat lalu, banyak pihak selain Pua yang telah menyuarakan kekecewaan dan menyuarakan kritikan atas pelbagai sebab.

Sementara sejumlah ahli politik dan gerakan masyarakat sivil tidak puas hati dengan pengurangan hukuman, ada pihak lain terutama Umno turut tidak berpuas hati kerana Najib tidak diberi pengampunan penuh, termasuk bekas perdana menteri itu sendiri, seperti yang disampaikan anaknya, Nooryana Najwa semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS