Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno mahu lapor polis terhadap Pua, dakwa 'biadab' pada Agong
Diterbitkan:  Feb 3, 2024 10:25 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Pemuda Umno akan membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua kerana didakwa mempersoalkan keputusan Agong sebelum ini untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib Razak.

"Insya-Allah laporan polis terhadap Tony Pua akan dilakukan seluruh negara oleh Pemuda Umno atas kebiadapan dia mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh YDP Agong.

"Jumpa kamu di mahkamah,” kata Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh di Facebook.

Dia turut menyiarkan tangkapan skrin catatan Pua di media sosial berkenaan.

Semalam, Lembaga Pengampunan mengumumkan tempoh hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, yang bermakna dia akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Dalam mesyuarat pada Isnin (29 Jan), lembaga itu turut mengurangkan denda yang dikenakan ke atas Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Selasa (30 Jan).

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International pada Ogos 2022.

Selepas keputusan itu diketahui umum, Pua membuat beberapa hantaran di Facebook, yang seolah-olah mempersendakan keputusan berkenaan.

“Bolehkah seseorang hantar saya ke penjara selama 1 tahun dan sebagai pertukaran, bayar saya RM50 juta? Tolonglah"

Satu lagi hantaran dalam bahasa Inggeris berbunyi: "i beg your pardon?"

Manakala catatan lain berbunyi 'King klep pardoned' dan 'Nantikan cuti umum juga'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS