Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pecat saya dari PKR jika bersuara jadi satu kesalahan - Hassan
Diterbitkan:  Feb 3, 2024 9:24 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim berkata dia tidak berkecil hati dengan teguran keras oleh Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Sebaliknya Hassan berkata parti itu boleh memecatnya jika menganggap tindakannya bersuara sebagai satu kesalahan.

"Secara hormat dan merendah diri bahawa saya terbuka dan bersedia sekiranya Parti Keadilan ingin memulakan prosiding disiplin ke atas saya kerana bersuara lantang selama ini.

"Jika saya mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan fikiran maka itu dianggap satu kesalahan oleh Kerajaan Perpaduan maka saya bersedia jika saya dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi meminta Hassan berhenti campur tangan dalam hal ehwal dalaman parti sekutu PH.

Ini selepas Hassan menggesa Umno menggantikan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, bagi mendapatkan semula keyakinan pengundi Melayu terhadap parti itu.

"Jangan jaga tepi kain parti orang lain. Kalau dia hendak suruh saya letak jawatan itu lain, kalau itu Pak Hassan Karim (Hassan) lah.

"Tapi jangan komen orang dalam parti lain, ia tidak baiklah, (jadi) saya bagi teguran keras pada Pak Hasan," kata Fahmi.

Tak kecil hati

Hassan pada Rabu lalu dilaporkan berkata Umno perlu diterajui muka baru dan tidak hanya 'menumpang dahan 'Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang dikatakan 'rapuh' berdepan PRU16.

Menurut Hassan, rombakan pemimpin baru yang segar, berintegriti dan berkarisma dalam parti itu penting untuk kembali mendapatkan undi Melayu.

Pada 1 Feb lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mengkritik ahli parlimen Pasir Gudang itu dan menggesa dia untuk bermuhasabah diri sebelum meminta parti itu menggantikan presidennya.

Menurut Hassan, sepanjang tempoh lebih 4 dekad terlibat dalam politik, inilah kali pertama dia ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik.

"Saya tidak berkecil hati.

"Hanya kerana teguran keras itu diumumkan secara terbuka maka izinkan saya menyatakan juga secara terbuka bahawa tidak ada kegetaran dan ketakutan di pihak saya atas teguran YB Menteri Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan dan ketua penerangan Parti Keadilan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS