Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno hari ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya membolehkan petisyen Najib Razak kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan "didengar awal".
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi yang dipengerusikan oleh Zahid, Lokman Noor Adam berkata petisyen untuk pengampunan lazimnya akan didengar selepas banduan menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman mereka.
"Kita juga nak ucapkan jutaan terima kasih kepada perdana menteri kerana kalau nak ikutkan, Najib punya pengampunan diraja, sepatutnya sudah satu per tiga jalani hukuman baru boleh dapat didengar oleh Lembaga Pengampunan.
“Tetapi atas usaha oleh presiden dan dengan dibawa oleh perdana menteri, maka Najib punya petisyen dapat didengar awal oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16," kata Lokman.
Najib telah mula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan skandal SRC International melibatkan dan RM42 juta pada Ogos, 2022.
Sementara itu, satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini berkata parti itu terkesan dan bersedih dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang hanya mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib.
Justeru, katanya, Umno akan meneruskan usaha mendapatkan "pembelaan" buat Najib, selaras keputusan Perhimpunan Agung Umno.
"Umno ingin menegaskan, pembelaan terhadap Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
"Sehubungan itu, Umno berharap atas prinsip keadilan, perdana menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini," kata kenyataan itu.
Semalam Lembaga Pengampunan mengumumkan tempoh pemenjaraan Najib dipendekkan dari 12 tahun kepada enam tahun. Denda yang ditetapkan mahkamah sebelum ini - RM210 juta - juga dikurangkan menjadi RM50 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mewakili kerajaan dalam Lembaga Pengampunan tersebut, yang turut dianggotai Peguam Negara Ahmad Terrirudin dan tiga lagi ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.