Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman: Umno akan rayu Agong timbang pengampunan diraja pada Najib

Umno akan meneruskan usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas presidennya Najib Razak dengan membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menurut Lokman Adam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat khas MKT di Kuala Lumpur hari ini, susulan keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman ke atas Najib.

"Alhamdulillah, kita menjunjung kasih keputusan telah dibuat Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah) dan Lembaga Pengampunan. Namun, kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh.

"Umno akan terus berusaha dan kita akan kumpul tandatangan (ketua bahagian Umno) dari seluruh negara untuk kita merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan sekali lagi pengampunan diraja ke atas Najib," katanya.

Semalam, Anwar berkata bekas perdana menteri itu boleh merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

Anwar berkata proses pengampunan adalah di luar hak prerogatif perdana menteri dan kerajaan.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa ia telah mengurangkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Ini bermakna Najib akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Dalam mesyuarat pada 29 Jan, lembaga itu juga mengurangkan denda yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, menurut Lokman, bekas ahli parlimen Pekan itu boleh dibebaskan lebih awal dan menyifatkan kenyataan Lembaga Pengampunan yang mengatakan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 itu kurang tepat.

Ini kerana katanya, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira seperti cuti tahunan dan juga menjalani hukuman tahanan di rumah.

"Hukuman penjara separuh bukan sepenuhnya enam tahun, biasanya hanya dua pertiga daripada keseluruhan tempoh hukuman.

"Jadi, tak semestinya 23 Ogos 2028 akan dibebaskan. Pada masa sama, Datuk Seri Najib juga boleh memohon parol dan kita akan usahakan (untuk) tahanan di rumah," katanya lagi.

Mengulas lanjut, dia meminta semua pihak terutama ahli Umno supaya menghormati keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan.

"Kita nak pastikan supaya satu lagi pengampunan baru dapat diusahakan ke bawah Yang di-Pertuan Agong yang baru untuk dipertimbangkan.

"Kita minta supaya semua pihak dan ahli-ahli Umno bertenang, ia belum selesai lagi, usaha kita akan berterusan.

"Kita juga minta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan," katanya.

Dia turut menyatakan bahawa kepimpinan parti komited dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib dan turut mengharapkan agar perdana menteri bersama dalam usaha itu.

"Kepimpinan parti secara konsensus berdiri teguh bersama presiden untuk meneruskan usaha, dalam masa sama kita harap Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga bersama kita dalam usaha mendapatkan keadilan untuk Datuk Seri Najib.

"Kita percaya Datuk Seri Najib gagal mendapatkan keadilan daripada awal perbicaraan lagi," katanya.

Terdahulu, MKT Umno bermesyuarat hampir tiga jam bagi membincangkan membincangkan keputusan pengurangan tempoh hukuman terhadap Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS