Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyifatkan gesaan Muda agar dia dipecat susulan pengurangan hukuman penjara ke atas Najib Razak sebagai "tidak matang".
Zaliha berkata Lembaga Pengampunan membuat keputusan itu secara kolektif dan maka gesaan yang dibuat Muda itu adalah tidak adil.
"Itu pandangan peribadilah...bagi saya, kitapun kenalah tengok keputusan yang diambil itu adalah keputusan dari Lembaga Pengampunan, kolektif.
"Kalau hendak tuju pada saya...pada saya gesaan tidak matang," katanya seperti dipetik Berita Harian malam tadi.
Semalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan tempoh pemenjaraan Najib dipendekkan dari 12 tahun kepada enam tahun. Denda yang ditetapkan mahkamah sebelum ini - RM210 juta - juga dikurangkan menjadi RM50 juta.
Ini bermakna Najib akan dibebaskan daripada penjara pada 23 Ogos 2028.
Susulan itu, Muda menggesa Zaliha dipecat daripada kabinet atas dasar dia gagal menjalankan tugas selaku wakil kerajaan dalam lembaga tersebut.
Ditanya jika Lembaga Pengampunan akan memberikan penjelasan di sebalik pengurangan hukuman Najib, Zaliha berkata dia tiada kuasa untuk menjawabnya.
"Apa-apa berkaitan pengampunan adalah daripada pihak lembaga, (saya) tidak boleh cakap lebih dari itu," katanya.