Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan kaji keperluan beku lesen spa, urut di KL
Diterbitkan:  Feb 1, 2024 9:16 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata kementeriannya akan mengkaji keperluan untuk membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut di Kuala Lumpur.

Kata Zaliha, kementeriannya juga sedia untuk membekuan permohonan lesen bagi perniagaan yang disebutkan di atas jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, dipetik BH Online, Zaliha berkata agensi berkaitan perlu menyediakan data berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Sebagai menteri bertanggungjawab, kebiasaannya kerajaan akan lakukan perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan kerana kita tidak mahu ia menjadi isu.

“Jalan terbaik adalah dapatkan semua maklumat terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Bayi Hari Wilayah Persekutuan di Hospital Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Zaliha berkata demikian mengulas langkah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membekukan semua permohonan lesen baru perniagaan spa, refleksologi dan urutan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, berkuat kuasa hari ini.

Datuk Bandar MBJB, Mohd Noorazam Osman, berkata keputusan itu diambil antaranya bagi mengawal lambakan perniagaan yang disifatkan berisiko tinggi dan sensitif itu dijalankan dengan unsur mencurigakan.

Kata Mohd Noorzam, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pelesenan yang bersidang pada 17 Jan lalu.

Tambahnya permohonan lesen berhubung perniagaan itu yang belum diluluskan sehingga semalam, diberikan status tangguh dengan semakan, sehingga permohonan dibuka semula pada masa akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS