Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Batalkan konsert Ed Sheeran
Diterbitkan:  Feb 1, 2024 5:43 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Ahmad Yahaya menggesa kerajaan membatalkan konsert bintang pop British Ed Sheeran kerana didakwa menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Apakah kita masih belum sedar dengan tragedi menjijikkan oleh sebuah kumpulan pro-LGBT The 1975 yang telah melakukan adegan kurang sopan di hadapan ribuan penonton selain menghina pendirian negara menolak ideologi berkenaan?

“Di mana maruah negara ketika mereka menghina pendirian kita menolak fahaman songsang mereka," katanya seperti dipetik HarakahDaily.

Ahmad menegaskan penganjuran konsert itu pada 24 Feb mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang semakin hampir. Dijangka umat Islam akan memulakan ibadah puasa pada 10 Mac depan.

“Apatah lagi persembahan berkenaan dijadualkan ketika umat Islam dalam negara dalam persiapan menyambut kedatangan Ramadhan yang mulia.

"Apakah kita semakin terhakis rasa sensitif terhadap hal ehwal agama?,” soalnya.

Sheeran sebelum ini pernah mengadakan konsert di Malaysia pada 2019 sempena jelajah dunia "Divide" manakala persembahan akan datang ini sebahagian daripada "+-=÷x Asia Tour", yang turut menampilkan penyanyi jemputan, Calum Scott.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor (gambar bawah) meminta umat Islam di negara ini memulau konsert penyanyi terbabit dan mengingatkan bahawa umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Yahya berkata pihak penganjur seharusnya akur dan menerima teguran oleh Wan Salim berkenaan isu terbabit dan bukan sebaliknya berdolak dalik dengan alasan yang tidak munasabah.

“Justeru, DUPP turut menggesa kerajaan supaya tidak sesekali membenarkan persembahan mana-mana artis Barat pro-LGBT selain menghormati kemuliaan bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya.

Gesaan agar konsert tebabit dibatalkan turut dibuat Ketua Pemuda PAS Selango Sukri Omar.

“Apa yang sangat dikesali, kerajaan Madani ini langsung tidak mempunyai sensitiviti dan sangat jinak untuk membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang jelas mempamerkan sokongan mereka terhadap LGBT.

“Ibarat bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Rakyat Malaysia sungguh kecewa dengan pendirian PMX yang sebelum ini tidak ambil kisah dengan suara rakyat untuk membatalkan konsert Coldplay, malah lebih mengecewakan, PMX sendiri mengalu-alukan kedatangan Coldplay ke Malaysia.

"Adakah kerajaan sedang menormalisasikan sesuatu," soalnya.

Sukri (gambar bawah) menggesa kerajaan PH-BN menghormati nasihat yang diberikan oleh para mufti dan ulama berhubung perkara tersebut.

"(Ed Sheeran) pernah membalutkan dirinya dengan bendera pelangi yang cukup sinonim dengan kelompok LGBT sewaktu mengadakan konsert sebelum ini. Cukup bahaya.

“Janganlah kerajaan dan pihak yang terlibat bersikap defensif untuk mempertahankan penganjuran konsert ini,” tegas Sukri.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi jaminan konsert bintang Ed Sheeran akan berjalan seperti yang dijadualkan.

Katanya, konsert itu sudah mendapat lampu hijau daripada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal).

"Antara 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui jawatankuasa Puspal adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, jadi saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti).

“Kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya," jelas menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS