Perbincangan mengenai 20 jawatan ahli majlis tempatan di Selangor dijangka selesai pada Mac, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Menurutnya, perbincangan mengenai perkara itu antara Pakatan Harapan (PH) negeri dan Umno telah berlangsung secara mesra setakat ini.
“[Perbincangan akan disambung semula] tidak lama lagi. Saya ingat saya ada beberapa urusan di luar negara hari ini. Mungkin sebelum Tahun Baru Cina saya akan cuba dapatkan masa.
“Tapi perbincangan dan juga peringkat jawatankuasa berlaku dengan sangat harmoni. Malahan pertemuan terakhir saya dengan (Ketua Umno Selangor) Datuk Megat (Zulkarnain Omardin) itu juga sangat harmoni dan kita faham apa yang ditimbulkan oleh mereka dan saya faham dan saya juga ada mengemukakan beberapa cadangan.
“Cuma saya kena mengutamakanlah cadangan-cadangan tersebut. Saya ingat sebelum (bulan) puasa kita dah boleh selesaikan semua,” katanya.
Amirudin ditanya mengenai perkembangan pelantikan 20 ahli majlis tempatan di 12 PBT di Selangor, yang masih terbuka kepada BN walaupun mereka menolak jawatan tersebut.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim baru-baru ini berkata, kekosongan jawatan itu tidak semestinya perlu diisi segera, ia boleh diisi pada masa hadapan.
Pada 16 Jan lepas, Malaysiakini melaporkan kerajaan negeri Selangor tidak dapat menyempurnakan pelantikan ahli majlis melibatkan 12 PBT bagi sesi 2024-2025.
Menurut sumber dalaman kerajaan negeri, keengganan Umno menerima tawaran Amirudin untuk 20 kerusi telah merumitkan pelantikan 272 ahli majlis baru.
Umno Selangor pada mulanya meminta lebih daripada 20 jawatan PBT yang ditawarkan, tetapi kemudiannya mengembalikannya.
Sebagai balasan, Megat menuntut 373 jawatan di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di seluruh negeri.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata perkara itu tidak "sebesar" seperti yang digambarkan oleh media.
“Saya dah dapat maklum balas awal daripada mereka dan ada persefahaman sebenarnya saya dengan Datuk Megat.
“Jadi benda tu bukanlah terlalu besar sebab persefahaman itu ada di antara kedua-dua ataupun di antara rakan-rakan dalam gabungan.
“Jadi ia bukan masalah besar bagi kita, mungkin cuma berita itu besar. Cuma saya rasa dia (Umno) cuma tidak mahu jawatan ahli majlis. Jadi ada tempat-tempat tertentu dan fungsi dalam kerajaan yang harus kita libatkan sama,” katanya.