Paling Popular
Terkini

Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan menteri besar Kedah itu untuk memindahkan kes hasutan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan kes hasutan yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Mahkamah Tinggi Aslam Zainuddin pagi tadi membenarkan permohonan untuk memindahkan kes pemimpin PAS itu.

Sebelum ini, pihak pendakwaan membantah pemindahan itu, dengan alasan kes berkenaan tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti didakwa pihak pemohon.

Perbicaraan penuh terhadap Sanusi dijadualkan bermula pada Isnin minggu depan.

Sanusi pada Julai tahun lalu, dihadapkan ke mahkamah sesyen dan memohon untuk dibicarakan atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik.

Dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memindahkan perbicaraan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhammad Sanusi, 50, selaku pemohon untuk memindahkan kes berkenaan.

"Selepas meneliti hujahan bertulis, afidavit sokongan, notis usul dan hujahan lisan kedua-dua belah pihak iaitu pemohon dan responden, mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon (Muhammad Sanusi) untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," kata hakim itu.

Mengikut dua pertuduhan itu, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

Dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Muhammad Sanusi diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dalam prosiding pendengaran permohonan tersebut.

Pada 11 Jan lepas, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Alasan permohonan dibuat ialah perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Pada 24 Jan lalu, pihak pendakwaan turut membantah permohonan Menteri Besar Kedah itu untuk memindahkan kes hasutan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi di Shah Alam memandangkan kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud berkata kes itu juga tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti didakwa pihak pemohon.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh perbicaraan untuk dua pertuduhan yang dihadapi Menteri Besar Kedah itu pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Feb serta 11, 15 dan 18 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS