Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim seperti acuh tak acuh dalam menangani ekonomi negara terutama yang berhubung kait dengan kehidupan dan kos sara hidup rakyat, kata Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin.
Katanya, Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) terus merekodkan aliran negatif 1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada November tahun yang sama.
“Bagaimanapun kerajaan seperti acuh tak acuh dalam menangani apa yang sedang berlaku sekarang.
“Selepas lebih setahun, masalah ini terus berlaku dan berlarutan tanpa ada tindakan konkrit yang boleh meredakan keresahan rakyat.
“Aliran negatif IHPR ini merupakan salah satu bukti keadaan ekonomi negara semakin meruncing dan tidak sihat. Jika kerajaan berterusan dengan cara kepimpinan dan pentadbiran ekonomi sebegini, saya khuatir Malaysia akan terjerumus dalam kancah ekonomi yang lebih buruk,” katanya.
Dalam kenyatan hari ini, Muhyiddin berkata, peniaga pula masih lagi bergelut dan belum benar-benar dapat keluar daripada fasa pemulihan perniagaan.
Kerajaan katanya perlu mengambil langkah segera dengan tindakan luar biasa bagi menangani kemelut yang sedang dihadapi untuk memulihkan kembali perniagaan mereka.
Bagaimanapun, katanya, ini tidak berlaku malahan lebih banyak masalah timbul ekoran kejatuhan nilai ringgit, penurunan eksport, kenaikan harga bahan import dan kelemahan kuasa beli pengguna.
Tambah Muhyiddin lagi, aliran negatif IHPR juga dijangka menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang.
"Selain memberi kesan kepada pengeluar, ini juga sudah tentu menambahkan beban hidup rakyat dari aspek tabungan dan pengurangan simpanan individu oleh kerana sumber pendapatannya terjejas.
"Sekiranya aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan yang menurun, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja.
"Ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutamanya masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu yang akan mengusutkan lagi isu beban kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini," katanya lagi.