Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunggu, kata Fahmi dua hari berturut-turut
Diterbitkan:  Jan 31, 2024 6:51 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sekali lagi menggesa pihak media menunggu pengumuman rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah perbincangan hangat berkaitan nasib bekas perdana menteri Najib Razak sama ada berjaya mendapat pengampunan diraja bagi kesalahan rasuah.

“Saya telah menyatakan kita perlu tunggu kenyataan media.

“Saya minta media dalam dan luar negara utk kita tunggu kenyataan rasmi,” katanya dua hari berturut-turut kepada pemberita.

Sementara itu, mengulas laporan media Singapura Channel News Asia (CNA) bahawa hukuman terhadap Najib dikurangkan daripada 12 ke enam tahun, Fahmi meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri.

Malah, dia berkata “saya bukan sumber (laporan) CNA”.

“Tunggu kenyataan rasmi dan ikut. Kalau tidak timbul pelbagai reaksi.

“Kita perlu tunjuk profesionalisme”,” katanya.

Spekulasi berkaitan nasib Najib mencuri perhatian awam sejak awal minggu ini, lebih-lebih lagi apabila menteri wilayah persekutuan mengesahkan Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada Isnin.

Utusan semalam melaporkan Najib diampun dan dibebaskan tetapi menarik balik laporan yang memetik sumber itu kerana tidak dapat disahkan.

Di tengah-tengah gesaan supaya menunggu kenyataan rasmi, CNA pula hari melaporkan bahawa hukuman Najib dikurangkan setengah. Laporan itu turut memetik sumber yang tidak dinamakan.

Kabinet bincang

Sementara itu, menjawab soalan, Fahmi juga mengaku kabinet ada membincangkan isu berkaitan Najib tetapi menegaskan perkara itu diseleraskan oleh Lembaga Pengampunan.

“Kamu dan saya kena tunggu,” katanya.

Najib sedang merengkok di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah melibatkan dana RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Bekas presiden Umno itu juga sedang berdepan perbicaraan lain, termasuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.27 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS