Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakan sekelas terharu diziarahi Al-Sultan Abdullah

Perarakan konvoi mengiringi Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Permaisuri, Tunku Azizah Sultan Iskandar dari Pangkalan TUDM Kuantan ke tengah bandar raya Kuantan, meninggalkan kesan tersendiri kepada seorang peniaga di Kuantan, Pahang.

Ketika perarakan itu melalui Jalan Mahkota dengan diiringi 16 kuda dari Kelab Polo Diraja Pahang, Al-Sultan Abdullah secara spontan menegur Hakimmuddin Enatyatly, 64, yang berdiri di depan kedai menjual peralatan sukan milik keluarganya.

Kedai Mohamed Store (Bombay Shop) itu beroperasi di situ sejak 1957.

Hakimmuddin sebenarnya adalah kawan sekelas Al-Sultan Abdullah semasa mereka menuntut di Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan, kira-kira 40 tahun lalu.

Menariknya baginda bukan sekadar menegur dan menyebut nama Hakimmuddin, bahkan baginda sanggup turun dari kereta membawanya untuk meninjau kedai berkenaan.

"Saya tak sangka baginda masih ingat nama dan kenal saya.

"Dah lama kami tak bersua, iaiti sejak tuanku dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong... memang dah lama betul tak bertemu mata dengan baginda.

"Dulu, ketika baginda masih Pemangku Raja Pahang, ada dua tiga kali juga baginda singgah di kedai ini," kata Hakimmuddin ketika ditemui petang tadi.

Dia yang agak uzur terpaksa menggunakan tongkat untuk memudahkan pergerakan.

Namun, Hakimmuddin tetap bersemangat untuk menunggu perarakan membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itu sejak pagi tadi.

"Memang untunglah kita ada Agong macam baginda berdua, mudah didekati dan sangat mesra dengan rakyat jelata.

"Saya harap tuanku dapat terus berkhidmat dengan penuh amanah dan cemerlang sebagai Sultan Pahang selepas ini," katanya lagi.

Ditanya mengenai kenangan ketika dia dan baginda bersekolah dulu, Hakimmuddin memberitahu Al-Sultan Abdullah tidak banyak berubah.

"Dari dulu baginda memang orang yang jenis simple dan tidak banyak protokol.

"Semua guru dan pelajar dapat bergaul seperti biasa dengan baginda," katanya.

Hakimmuddin turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah sempat berpesan kepadanya untuk terus menjaga kesihatan selepas menyedari dia kini terpaksa menggunakan tongkat.

"Memang begitulah peribadi baginda sejak dulu, suka mengambil berat dan prihatin dengan keadaan kenalan dan juga rakyat Pahang," katanya.

AL-Sultan Abdullah hari ini menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara sejak 31 Jan 2019.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS