DAP tetap bersama-sama kerajaan dalam membuat perubahan membabitkan isu skim pencen wakil rakyat, kata setiausaha agung parti itu Anthony Loke.
Katanya sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan pemimpin politik, tiada masalah bagi anggota parti itu mengikut perubahan berkenaan dan mereka sedia berkorban bagi mendepani cabaran besar terhadap kewangan negara.
“Soal pencen itu kita tidak ada masalah, DAP akan bersama-sama dengan kerajaan membuat perubahan ini kerana perubahan yang kita kena buat ini adalah disebabkan cabaran besar kepada kewangan negara.
“Saya yakin ini satu semangat yang kami akan bawa dalam parti dan kerajaan kerana apabila kita buat sebarang perubahan, sudah tentu sebagai pemimpin politik kita kena tunjuk contoh dan teladan yang baik,” katanya pada sidang media nNombor pendaftaran istimewa GOLD di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata wakil rakyat yang menerima lebih daripada satu skim pencen memiliki tanggungjawab moral untuk memilih hanya satu skim pencen.
Ia menyusul pengumuman Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pengambilan penjawat awam baru secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum kabinet meluluskan dasar pengambilan baru secara tetap tetapi tidak berpencen.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata Akta Saraan Ahli Parlimen dan enakmen di setiap dewan undangan negeri perlu dipinda bagi tujuan itu.
“Contohnya macam saya, saya juga Adun…. Adun ada pencen di bawah (enakmen) negeri, bukan dari Persekutuan.
"Jadi kalau dalam keadaan di mana seseorang itu ada pelbagai kapasiti, mungkin kena ada pindaan undang-undang untuk hadkan seseorang itu hanya layak terima satu pencen,” katanya yang juga Adun Chennah.
- Bernama