Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utusan tarik balik berita Najib bebas
Diterbitkan:  Jan 30, 2024 3:54 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Utusan Online menarik balik laporan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan daripada penjara.

Dalam penjelasannya awal petang ini, Utusan berkata laporan itu ditarik balik susulan terdapat fakta yang tidak dapat disahkan.

“Oleh itu pihak kami memohon maaf kepada pembaca,” kata portal itu.

Laporan asalnya memetik sumber yang menyebut Najib mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan, semalam.

Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa enggan mengulas berkaitan keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan sama ada membebaskan Najib atau tidak.

Dia yang juga anggota lembaga itu sebaliknya meminta orang ramai menunggu kenyataan rasmi berkaitan perkara itu.

Zaliha juga dilaporkan berkata di Kuala Lumpur hari ini bahawa Lembaga Pengampunan bermesyuarat semalam.

Najib sedang merengkok di Penjara Kajang setelah disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa berkaitan Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) bernilai RM4 bilion dan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta.

Bekas presiden Umno itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS