Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa enggan mengulas berkaitan keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan sama ada membuat keputusan membebaskan atau tidak bekas perdana menteri Najib Razak.
Dia yang juga anggota lembaga itu sebaliknya meminta orang ramai menunggu kenyataan rasmi berkaitan perkara itu.
“Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan berkaitan isu ini,” katanya menjawab soalan Malaysiakini hari ini.
Pada jam 2.30 petang ini, Utusan Online menyiarkan laporan yang memetik sumber tidak didedahkan dan mendakwa Najib mendapat pengampunan.
Laporan itu bagaimanapun ditarik balik kerana tidak dapat disahkan.
Malaysiakini juga tidak boleh mengesahkan maklumat tersebut.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan Zaliha sebagai berkata di Kuala Lumpur hari ini bahawa Lembaga Pengampunan bermesyuarat semalam.
Tiada butiran lanjut didedahkan.
Media sebelum ini melaporkan mesyuarat yang sepatutnya diadakan semalam, adalah mesyuarat terakhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum pemerintahan baginda berakhir hari ini.
Najib sedang merengkok di Penjara Kajang setelah disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa berkaitan Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) bernilai RM4 bilion dan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta.
Bekas presiden Umno itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 2018, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mendapat pengampunan diraja daripada kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
Berbeza dengan Najib, Anwar bagaimanapun berkata dia tidak pernah memohon pengampunan diraja daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang menjadi Agong pada 2018.
Sebaliknya, kata Anwar, pengampunan itu inisiatif Agong sendiri kerana baginda percaya terdapat pelanggaran prinsip keadilan dalam kesnya.