Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco hairan demo bantah insinerator lepas perbincangan 'memuaskan'

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim berkata dia hairan bantahan berterusan terhadap rancangan membina insinerator sisa kepada tenaga (WTE) di negeri ini.

Katanya, mengikut pemahamannya, Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI) telah mengadakan pertemuan dengan anak syarikat kerajaan negeri, Pengurusan Sisa Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) berhubung projek insinerator berkenaan.

Ng berkata dia menganggap bahawa kedua-dua pihak berpuas hati dengan hasil perbincangan.

“Terdapat persefahaman dan komunikasi yang menyeluruh, dan mereka menjelaskan selama berjam-jam, dan semua orang berpuas hati.

“Namun, mereka terus membantah (projek insinerator) di luar.

"Tetapi kami akan terus mengekalkan sikap terbuka untuk mendengar. Apakah perkara yang mereka tidak berpuas hati—sama ada penjelasan kami atau sesuatu yang lain?

“Adakah mereka mempunyai soalan lain yang ingin mereka fahami daripada laporan kami?” katanya pada sidang media di Shah Alam, semalam.

Minggu lalu kira-kira 300 orang menghadiri protes anjuran RTI di luar tapak cadangan loji insinerator di Batu Arang.

Sebelum ini dilaporkan dua insinerator WTE dijangka beroperasi serentak dalam radius 15km dari bandar Rawang.

Insinerator pertama ialah Loji Tenaga Hijau WTE Sultan Idris Shah (SIS) di Batu Arang, yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Yang kedua ialah insinerator WTE yang dipindahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang pada awalnya dirancang untuk dibina di Taman Beringin, Kepong, dan kemudiannya dipindahkan ke Rawang.

Mereka yang menentang insinerator berkenaan menyatakan kebimbangan terhadap risiko kesihatan dan alam sekitar.

Mereka juga mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak responsif dan mengelak mereka dalam perkara itu.

Ng, bagaimanapun, menafikan perkara ini - berkata RTI hanya perlu mengemukakan surat untuk mendapatkan pertemuan.

“Saya perlu menyemak, kerana saya hanya melihat kenyataan mereka di media dan tidak tahu sama ada mereka ada menghantar surat.

“Jika ada surat, kerajaan negeri Selangor kita kekalkan sikap terbuka dan sanggup berjumpa dengan mana-mana pertubuhan,” katanya.

Sementara itu, Ng berkata Malaysia ketinggalan dalam penukaran WTE.

"Kita telah ketinggalan 20 tahun. Dari segi penukaran WTE, kita ketinggalan sekurang-kurangnya 20 tahun di belakang Singapura.

“Kita telah menggunakan tapak pelupusan sampah untuk pelupusan sampah, dan kaedah ini tidak lestari," katanya.

Dia menegaskan bahawa kaedah tapak pelupusan semasa adalah tidak lestari, tidak mesra alam dan mengakibatkan pembaziran tanah yang ketara.

Ketika ditemui kemudian, Ng turut mendedahkan bahawa rancangan untuk membina insinerator di Batu Arang kini dalam peringkat draf laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS