Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: 20 tempat BN dalam PBT Selangor tak semestinya diisi segera

Kerajaan Selangor masih membuka pintu buat BN negeri itu mengisi 20 jawatan sebagai ahli majlis di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun Umno negeri terbabit menolaknya baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim, berkata jawatan tersebut tetap tersedia buat BN yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Ng juga menegaskan tawaran berkenaan tetap dibuka walaupun 11 daripada PBT di negeri itu sudah selesai mengangkat sumpah jawatan.

"Kekosongan tersebut pula tidak semestinya perlu diisi segera, mereka boleh mengisinya pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Pada 16 Jan lalu Malaysiakini melaporkan kerajaan Selangor tidak dapat menyempurnakan pelantikan ahli majlis melibatkan 12 PBT bagi sesi 2024-2025.

Menurut sumber, keengganan Umno menerima tawaran 20 kerusi daripada Menteri Besar Amirudin Shari menyukarkan pelantikan 272 ahli baru majlis.

Umno Selangor pada mulanya meminta lebih daripada 20 jawatan PBT yang ditawarkan dan perkembangan semasa menyaksikan mereka menolak tawaran yang diberikan.

Sebaliknya Umno Selangor mengembalikan jawatan tersebut kepada kerajaan negeri dan meminta agar mereka diberikan tugas sebagai pengerusi kepada 373 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.

Mengulas perkara itu pada sidang media hari ini, Ng berkata dia menghormati pandangan Umno Selangor dan mengakui banyak perkara yang perlu diperhalusi kerana PH dan BN baru setahun bersama-sama dalam kerajaan.

“Masing-masing mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza. Permintaan penyokong mereka kepada parti komponen mereka berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, Ng yang juga Adun Sekinchan berkata perkara itu perlu dibawa kepada PH dan BN Selangor untuk diputuskan kemudian oleh Amirudin.

Sementara itu, Ng menjelaskan kelewatan majlis angkat sumpah jawatan anggota baru majlis bagi Majlis Perbandaran Klang ditangguhkan berikutan peningkatan taraf PBT terbabit daripada majlis perbandaran kepada bandar raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS