Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengecualian cukai pintu kampung di Selangor tidak lagi automatik

Rumah di kampung baru, kampung Melayu dan kampung nelayan di Selangor tidak lagi secara automatik dikecualikan daripada cukai taksiran atau cukai pintu mulai tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim berkata pemilik rumah di kampung-kampung ini sebaliknya perlu memohon pengecualian jika mereka layak untuk mendapatkannya.

Syarat untuk layak mendapat pengecualian ialah pemohon terdiri daripada warganegara Malaysia yang menetap di Selangor, mempunyai hartanah di kampung yang berkeluasan di bawah 2,000 kaki persegi, dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Kerajaan Selangor sebelum ini telah mengecualikan kampung-kampung ini daripada cukai taksiran dari 2016 hingga 2023.

Bagaimanapun, Ng memberitahu sidang media di Shah Alam hari ini bahawa bantuan seumpama itu kini hanya akan diberikan secara bersasar kepada mereka yang memerlukannya.

“Maka yang tidak menepati syarat kita akan kenakan bayaran cukai taksiran mulai tahun ini juga ini,” katanya.

Ng juga menyebut bahawa memandangkan cukai tidak dikutip di kampung-kampung tersebut selama lapan tahun, majlis tempatan akan menghantar notis fizikal kepada penduduk pada akhir bulan depan.

Menurutnya, mereka yang layak mendapat pengecualian mempunyai tempoh tiga bulan sehingga akhir Mei ini untuk memfailkan rayuan.

Sementara itu, tambahnya, pengecualian untuk perumahan kos rendah di negeri ini akan dikekalkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS