Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Wan Junaidi angkat sumpah sebagai TYT Sarawak ke-8
Diterbitkan:  Jan 29, 2024 5:44 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching.

Ketibaan Tun Wan Junaidi bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar.

Istiadat dimulakan dengan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh 102 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia diketuai oleh DSP Mohamad Zaini Ismail, seterusnya diikuti dengan Istiadat Angkat Sumpah Perlantikan di Dewan Lapau pada pukul 4 petang.

Wan Junaidi terlebih dahulu mengangkat sumpah sebelum menandatangani Surat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Beliau kemudiannya menandatangani Surat Pengisytiharan sebagai Yang Dipertua Negeri disaksikan oleh Premier Sarawak.

Wan Junaidi, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 1 Februari ini telah menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat lepas di Istana Negara.

Perlantikan beliau mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 sehingga 26 Jan 2028, mengantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS