Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MPT Bersatu teguh sokong Muhyiddin sebagai presiden
Diterbitkan:  Jan 29, 2024 3:43 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Di tengah wujud khabar angin mendakwa Bersatu sedang dilanda gelora ekoran krisis kepemimpinan, majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti itu tampil menunjukkan keadaan adalah biasa saja.

Hari ini Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menyatakan parti itu berdiri teguh di belakang presiden mereka, Muhyiddin.

Kata Ahli Parlimen Larut itu, Bersatu bersetuju sebulat suara untuk meneruskan perjuangan mereka di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Penegasan itu sekali gus dilihat menafikan khabar angin yang mendakwa wujudnya kem tertentu dalam parti terbabit sehingga ada yang mahu Muhyiddin digantikan.

"Dalam menyusun langkah konkrit ke hadapan, MPT sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin selaku Presiden," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hamzah, mereka bersatu menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu bukan saja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, bahkan agar tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam "melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim."

Kenyataan itu dibuat selepas MPT Bersatu mengadakan mesyuarat semalam. Ia diadakan ketika parti terbabit sekali lagi dikejutkan dengan tindakan seorang ahli parlimennya menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Sebelum ini ada pihak mendakwa sesetengah ahli Bersatu mahu agar Muhyiddin berundur agar parti itu dilihat lebih menarik dan segar.

Tokoh yang dianggap sesuai menggantikan Muhyiddin, kata mereka, ialah Hamzah sendiri.

Antara watak yang menyatakan pandangan sebegitu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. Dia merukan seorang daripada enam ahli parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepada Anwar.

Hamzah turut mengumumkan perubahan pimpinan Bersatu di peringkat negeri membabitkan Negeri Sembilan dan Selangor.

Untuk Negeri Sembilan jawatan ketua Bersatu negeri kini digalas Adun Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker bagi menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden parti berkenaan.

Adun Hulu Kelang merangkap Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali, pula ditugaskan sebagai pengerusi Bersatu negeri itu menggantikan Abdul Rashid Asari.

Sebelum ini rakan Bersatu dalam PN - PAS - merungut apabila parti itu dianggap mengecewakan di bawah pimpinan Ahmad Faizal khususnya selepas pilihan raya negeri (PRN) berakhir pada tahun lalu.

Selain tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, PAS Negeri Sembilan mendakwa pengerusi Ahmad Faizal "tidak mengambil tahu" lagi akan hal-hal parti.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha dilaporkan berkata dia terpaksa mendedahkan mengenai keadaan PN kerana pelbagai masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu Hamzah berkata Bersatu melantik tiga pemimpin parti untuk menyertai MPT iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin; Adun Taman Medan, Afif Bahardin; dan Penolong Setiausaha Srikandi, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Hamzah turut mengumumkan lantikan pengerusi baru bagi biro dalaman parti membabitkan Radzi Jidin (biro ekonomi); Saifuddin Abdullah (biro antarabangsa); Azman (biro pendidikan); Wan Saiful Wan Jan (biro latihan) dan Fadzillah Mohd Pilus (pengerusi lembaga disiplin).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS