Paling Popular
Terkini

Bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin hari ini didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

Jutawan itu yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Dis 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Harta-harta berkenaan ialah akaun bank Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), tujuh kenderaan mewah iaitu sebuah kereta jenama Rolls Royce Royce 2 Axle Rigid Body, tiga Mercedes Benz dan masing-masing sebuah kereta jenama Jaguar XJS HE, Austin Morris Austin dan Ford Prefect.

Selain itu, terdapat 38 syarikat yang tidak diisytiharkan termasuk Menara Ampang Sdn Bhd, Fortune Valley Sdn Bhd, Genius Field Sdn Bhd, Festive Place Sdn Bhd, Vast Access Sdn Bhd, and Reliance Shipping & Travel Agencies (Perak) Sdn Bhd.

Harta lain membabitkan 25 hartanah antaranya beberapa unit kondominium, rumah dan hotel melibatkan 18 di Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing tiga di Pahang dan Negeri Sembilan, manakala satu hartanah di Kedah.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon ikat jamin ditetapkan antara RM250,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, serta meminta agar Daim menyerahkan pasportnya ke mahkamah, dan melaporkan kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali.

Pendakwa raya juga memohon mahkamah memerintahkan Daim agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes itu, sementara menunggu kes dibicarakan.

Bagaimanapun, peguam bela, M Puravalen merayu agar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM250,000.

Peguam itu menegaskan Daim tidak berisiko melarikan diri memandangkan dia berkerusi roda dan menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

Puravalen berkata Daim telah menjalani pembedahan di bahagian mata akibat jangkitan kulat, mengalami masalah pendengaran berkaitan perubatan, dan strok ringan sejak beberapa tahun lalu.

Azura kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM280,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, namun tidak mengenakan syarat tambahan seperti keperluan menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM.

Hakim kemudian menasihatkan pihak-pihak terlibat supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjadi subjudis kepada perbicaraan, serta menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes.

Selain Wan Shaharuddin, pasukan pendakwaan terdiri daripada DPP Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamed Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.

Daim turut diwakili peguam Nizamuddin Hamid, M Moganasundari, N Rajeshwaran, dan Sachpreetraj Singh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS