Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HKL siasat dakwaan insiden komplikasi kerana guna mesin ventilator

Pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang menyiasat dakwaan insiden komplikasi membabitkan pesakit yang menerima bantuan pernafasan melalui mesin ventilator di hospital itu.

Pengarah HKL Dr Rohana Johan berkata sebarang komplikasi membabitkan keselamatan pesakit susulan rawatan kesihatan akan disiasat melalui sistem pengendalian insiden seperti diperuntuk dalam Garis Panduan Pengurusan Pengendalian Insiden oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"HKL ingin memaklumkan bahawa kejadian yang dilaporkan media pada 27 Jan berkaitan isu pesakit yang menerima rawatan melalui mesin ventilator sedang dalam siasatan pihak hospital," menurutnya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata HKL dengan kerjasama syarikat konsesi hospital sentiasa memastikan peralatan perubatan yang digunakan dipantau dan diselenggara mengikut jadual agar perkhidmatan kesihatan berkualiti diberikan kepada pesakit.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan bahawa menurut dakwaan sumber, seorang pesakit meninggal dunia manakala seorang lagi diisytiharkan mati otak dalam tempoh seminggu di wad berasingan di sebuah hospital di Lembah Klang susulan kegagalan ventilator.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan pula dilaporkan berkata KKM sedang menyiasat dakwaan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS