Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Kg Setia Jaya: K'jaan masih tunggu cadangan daripada KTAR

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya masih menunggu beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan daripada kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) berkenaan penyelesaian isu penempatan penduduk Kampung Setia Jaya di Setapak, Kuala Lumpur.

Zaliha berkata sebelum ini, pihaknya sudah berbincang dengan kolej TAR dan mereka bersetuju penduduk boleh terus tinggal di situ sehingga perkara berkaitan termasuk masalah penempatan diselesaikan.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kids Fest 2024, di Putrajaya hari ini.

Pada 19 Dis lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi memutuskan kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya untuk mengosongkan tanah yang mereka duduki itu dalam tempoh 18 bulan.

Susulan itu, Dr Zaliha telah mengadakan beberapa sesi pertemuan dengan wakil penduduk Kampung Setia Jaya dan Yayasan Pendidikan TAR sebagai pemilik tanah bagi menyelesaikan isu berkenaan demi kebajikan dan kesejahteraan penduduk.

Dr Zaliha Mustafa

Mengenai Kids Fest 2024, Dr Zaliha berkata penganjuran festival kanak-kanak yang buat julung kalinya itu bukan sahaja mampu menjadikan Putrajaya sebagai hab pelancongan malah sebagai hab animasi tempatan.

Dia berkata pasaran animasi tempatan sedang berkembang pesat dan kejayaan pelbagai animasi tempatan seperti Didi & Friends, Omar & Hana dan sebagainya membuktikan bahawa animasi tempatan bukan sahaja setanding, malah mampu menyaingi animasi luar negara.

"Kewujudan festival ini sudah semestinya menyumbang kepada aspirasi Wilayah Persekutuan dalam mentransformasikan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai 'smart city' berteraskan pendigitalan," katanya.

Anjuran KRU Arena dan Universal Music Malaysia dengan sokongan Astro Radio, Kids Fest 2024 diadakan pada 27 hingga 28 Jan ini di Padang Semarak, Taman Wetland.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS