Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Wang tak dituntut mencecah RM11.7 bilion setakat 31 Dis lalu'

Kerajaan menerusi Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) akan mengadakan bengkel bersama pejabat wakil rakyat di setiap negeri bagi memberikan taklimat berhubung Wang Tidak Dituntut (WTD).

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata inisiatif itu sebagai satu daripada usaha oleh kementeriannya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membuat tuntutan memandangkan ketika ini jumlah terkumpul wang yang tidak dituntut masih tinggi iaitu RM11.7 bilion setakat 31 Dis lepas.

"Jika dilihat berdasarkan rekod setengah tahun lepas jumlah WTD adalah sekitar RM11.3 bilion dan meningkat kepada RM11.7 bilion dalam tempoh enam bulan yang ia merupakan satu jumlah yang besar.

"Semua ini adalah wang rakyat dari akaun bank, insurans dan dividen yang tidak dituntut. Justeru bagi meningkatkan kesedaran untuk mereka membuat semakan dan tuntutan, kementerian menerusi JANM akan adakan bengkel bersama semua pusat khidmat ahli parlimen dan Adun bermula di Pulau Pinang sebagai negeri pertama pada 6 Feb ini," katanya.

Lim bercakap kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bertemu peniaga bersempena sambutan Tahun Baru Cina di Pasar Chowrasta, di George Town, Pulau Pinang hari ini.

Menerusi bengkel itu, dia berkata pihak JANM akan memberikan taklimat dan penerangan terperinci kepada kakitangan di pejabat wakil rakyat supaya selepas itu mereka boleh membantu orang ramai untuk membuat semakan dan tuntutan, sekiranya ada jumlah WTD.

"Kita akan tengok dulu kejayaan projek rintis ini di Pulau Pinang dan akan tambah baik apa yang perlu. Sekiranya berjalan lancar, kita akan perluaskan bengkel ini di negeri-negeri lain supaya hebahan dapat dibuat seterusnya memberikan kesedaran kepada orang awam untuk semak dan tuntut wang yang merupakan hak mereka," katanya.

Dia berkata semakan juga boleh dibuat menerusi portal eGumis dan bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun penerima dalam tempoh 30 hari selepas melengkapkan tuntutan berserta dokumen diperlukan.

Sementara itu dia menegaskan kerajaan tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai ejen dalam urusan membuat semakan atau tuntutan, justeru orang awam diingatkan supaya tidak terpedaya dengan menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang mengambil kesempatan.

Sementara itu, berhubung Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Lim berkata jumlah peruntukan bagi fasa 1 pemberian sumbangan itu meningkat 26 peratus tahun ini kepada RM2.1 bilion berbanding RM1.6 bilion tahun lepas membabitkan 8.2 juta penerima yang layak.

"Tahun ini kerajaan menaikkan bayaran fasa 1 STR kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah berbanding bayaran maksimum RM300 tahun lepas, bagi membantu sebilangan besar rakyat menangani kesan peningkatan kos sara hidup," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS