Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno rakam penghargaan pada PM konsisten perjuangan Palestin

Umno merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin sehingga membawa keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penghargaan itu dinyatakan sebulat suara pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam ini.

"Mesyuarat merakamkan penghargaan kepada perdana menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia yang secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin hingga membawa kepada keputusan positif ICJ.

"Berpandukan kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang memerintah Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genocide) terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di ibu negara, malam ini.

Terdahulu, media melaporkan ICJ telah menyampaikan keputusan majoriti yang mengarahkan Israel untuk mengambil langkah-langkah untuk mencegah penghapusan bangsa (genosid) di Gaza.

Menurut laporan BBC, 15 daripada 17 panel ahli di The Hague, Belanda, telah mengundi menyokong perintah bahawa Israel mesti mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah penghapusan bangsa di Gaza dan memastikan tenteranya tidak melakukan tindakan sedemikian.

Ia juga mengarahkan Israel untuk memastikan pemeliharaan bukti tindakan sedemikian dan memberi akses kepada misi pencarian fakta pada masa akan datang.

Dengan 16 undi berbanding satu, ICJ mengarahkan Israel menghukum pihak yang menghasut kepada penghapusan bangsa di Gaza.

Semasa membacakan keputusan interim majoriti, presiden mahkamah Joan Donoghue menyorot kenyataan terbuka seperti Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant yang mengatakan bahawa tenteranya memerangi “human animals” dan berikrar akan “menghapuskan segala-galanya”.

Malaysia antara negara yang menyokong langkah diambil Afrika Selatan membawa Israel ke ICJ.

Kongres ekonomi bumiputera

Sementara itu, Asyraf berkata Umno juga akan menganjurkan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3 Feb nanti.

"Umno melalui Majlis Ekonomi dan Kewangan Umno yang dipengerusikan Johari Abdul Ghani akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3 Feb 2024 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.

"Resolusi kolokium ini akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29 Feb hingga 2 Mac 2024," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS