Ismanizam Ibrahim, 42, dan isterinya Siti Rodiyah Zulkifli, 37, sanggup berulang-alik membawa tujuh anak mereka berumur lingkungan setahun hingga 15 tahun menaiki motosikal untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kulim, semalam.
Siti Rodiyah berkata mereka terpaksa berpindah ke PPS kerana rumah dinaiki air separas pinggang akibat hujan lebat berterusan pada Rabu lepas.
"Kami mula berpindah pada 7.30 malam tadi apabila air semakin naik, kami pindah awal sebab risau jalan utama ke PPS tidak boleh dilalui oleh kenderaan…
"Saya dan suami menggunakan dua motosikal untuk membawa tujuh anak ke PPS dengan berulang-alik sebanyak empat kali kerana kami tiada kereta," katanya kepada Bernama di PPS di Tanah Merah hari ini.
Beliau berkata setiap kali tiba musim tengkujuh, mereka akan berpindah ke PPS kerana tinggal di kawasan rendah dan berdekatan dengan sungai.
"Oleh itu, memang kami sudah melakukan persiapan dari awal dan bersiap sedia untuk berpindah apabila berlaku hujan lebat," katanya yang sering menjadi antara mangsa terawal berpindah ke PPS itu.
Siti Rodiyah juga berkata oleh kerana jarak rumahnya dengan sungai hanya kira-kira 100 meter, beliau akan menetap di PPS sekurang-kurangnya empat hari untuk memastikan ia surut terlebih dahulu sebelum pulang.
- Bernama