Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sokong PM lagi: Syed Hussin kemuka 'formula' 8+3

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa ada 10 lagi wakil rakyat PN akan memberikan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tidak menyatakan secara khusus ahli parlimen yang dirujuknya, dia berkata jumlah itu termasuk sokongan yang sudah diumumkan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi, beberapa hari lalu.

Dia juga tidak menyatakan secara spesifik bila ahli parlimen terbabit akan membuat pengumuman, namun memberi bayangan ia akan berlaku sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb ini.

Menggunakan 'fomula' 8+3, Syed Abu Hussin sekadar memberikan bayangan ahli parlimen terbabit.

"Bagi kawasan utara - Kedah, Pulau Pinang, dan Perak - ada lima orang. Kawasan Pantai Timur - Kelantan, Terengganu dan Pahang - tiga orang, dan kawasan tengah (Selangor dan Melaka), tiga orang lagi," katanya pada sidang media secara langsung melalui Facebook dan TikTok, hari ini.

Dalam sidang media sama, dia turut menyeru lima ahli parlimen Bersatu yang dianggap berprofil tinggi serta berpengalaman untuk mengikut jejaknya menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Lima ahli parlimen terbabit ialah Hamzah Zainudin (Larut), Ronald Kiandee (Beluran), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Kata Syed Abu Hussin, dia yakin tidak sukar untuk kelima-lima ahli parlimen itu memberikan sokongan kerana tindakan yang sama pernah mereka lakukan sebelum ini.

Dia merujuk kepada ahli parlimen terbabit yang bertanding - dan menang - atas tiket BN sebelum meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu yang ketika itu menyertai kerajaan PH.

Jangka PAS tinggalkan Bersatu

Mereka juga, kata Syed Abu Hussin, pernah meninggalkan PH dan menyokong parti lain bagi membentuk kerajaan baru selepas Langkah Sheraton pada 2020.

"Sebab itu saya menyeru lima MP ini, mereka sudah ada pengalaman meninggalkan parti dan menyokong PH ketika itu, jadi, hendak ulang balik tidak susah sebab pengalaman sudah ada.

"Kalau mereka berfikir secara serius, mungkin dengan pengalaman yang ada itu boleh membantu PMX (Anwar) dengan lebih baik, kita boleh berbahas dan beri cadangan lebih baik dan konstruktif," katanya.

Sementara itu Syed Abu Hussin turut menyatakan keyakinan bahawa kedudukan Anwar selaku perdana menteri akan bertambah kuat selepas beberapa lagi ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepadanya.

Dakwanya lagi, langkah menyokong Anwar boleh menjadi persiapan awal untuk Bersatu menghadapi PRU ke- 16 kerana berpendapat PAS mempunyai sejarah suka bertukar-tukar rakan.

Sekarang, katanya, PAS menganggap parti itu kuat dan boleh membuat keputusan sendiri seperti yang pernah dilakukan mereka sebelum ini.

"PAS sudah merasa kuat dan selalunya membuat keputusan yang berlainan setiap kali pilihan raya, ini sejarah. Dalam setiap pilihan raya sebelum ini, PAS akan membuat gabungan dengan parti yang berlainan.

"Saya melihat bahawa PRU16, PAS tidak akan mengambil Bersatu sebagai rakan dalam pilihan raya, maka, Bersatu perlu membuat persediaan awal," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS