Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tubuh RCI Batu Puteh urusan dalaman Malaysia - MFA S'pura

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan “adalah urusan dalaman Malaysia”, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA).

“Kami tidak melihat perkara ini menjejaskan hubungan baik antara Singapura dan Malaysia,” kata jurucakap kementerian ketika menjawab pertanyaan media pada Khamis.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali (gambar bawah) berkata penubuhan RCI adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang mana cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“Cadangan ahli-ahli ini akan mengambil kira komposisi pakar-pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, undang-undang, dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (24 Jan).

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negeri di perairan wilayah ia berada.

Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu pada 2017.

Bagaimanapun, pada 2018, pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura, satu langkah yang telah menimbulkan banyak persoalan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS