Kejadian banjir kilat di pekan Sungai Lembing, dekat Kuantan, Pahang, lewat petang semalam didakwa berpunca air dari bukit sekitar penempatan itu.
Saleh Kidam, 81 (gambar bawah), ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing mendakwa air dari bukit yang mula-mula memenuhi pekan itu sebelum limpahan dari sungai memburukkan lagi keadaan.
Dia yang sudah menetap di situ sejak 43 tahun lalu memberitahu hujan lebat berterusan juga antara faktor mengakibatkan pekan Sungai Lembing mengalami banjir kilat.
"Banjir baru ni (semalam) saya ada banyak masalah, ada penyakit kanser, mujur ada anak jaga.
"Sejak 1981 lagi banjir di sini, dah lali dengan banjir, boleh kata tiap tahun.
"Tahun ini sekali, tahun lepas dua kali... sebelum ini ada la lima tahun tak banjir, ingatkan dah ok, rupanya banjir lagi.
"Rumah saya dulu dah habis roboh, sekarang sewa dengan masjid Sungai Lembing.
"Air banjir ini bukan sungai tapi bukit, lepas air bukit mengalir ke sungai, air makin naik," katanya.
Dia mengakui belum melihat keadaan rumah sewanya selepas berpindah ke PPS itu semalam.
Katanya, ketika dia keluar dari kawasan rumah itu, paras air sudah mencecah lutut.
"Motor, beca semua tenggelamlah. Semalam pun nasib baik ada polis datang ambil dengan kereta, kalau tak, memang tak larat nak mengharung air," katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mak Ah Mui, 74 (gambar bawah), berkata dia bernasib baik kerana cepat membuat keputusan untuk berpindah ke PPS.
"Semalam ada seorang mati, itu tauke saya kenal, masa hujan lebat saya fikir mahu tunggu dulu hujan sikit baru lari (pindah).
"Kalau tunggu, mesti mati la, kita orang tua tak lari (pindah) pergi PPS, memang susah.
"Lagi satu, tak lama lagi satu kali satu bulan Tahun Baru Cina, kita pun takut," katanya.
Petang semalam, seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba melintas jalan di pekan Sungai Lembing.
Paras air meningkat
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mayat Lee Yie Chong, 62, yang juga pemilik sebuah kedai di Sungai Lembing ditemui pada jam 12.45 tengah malam.
Mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan longkang Kampung Jelihan Sungai Lembing kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan.
Dalam pada itu, pegawai operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Mohd Luqman Hakim Abdullah menasihati pengguna jalan raya menghala ke pekan Sungai Lembing supaya lebih berhati-hati.
Ini kerana katanya, terdapat beberapa laluan terpaksa ditutup berikutan peningkatan paras air akibat limpahan sungai dari hulu.
"Jika pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran, kalau boleh jangan redah sebab kita tidak tahu paras kedalaman air yang bertakung itu.
"Begitu juga dengan arus air yang deras, jadi boleh mendatangkan bahaya jika diredah menggunakan kenderaan ringan," katanya.