Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar tingkatan empat dakwa dirogol sarjan: Polis jamin siasatan telus
Diterbitkan:  Jan 25, 2024 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan telus dalam kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang mendakwa dirogol seorang polis berpangkat Sarjan, tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kes itu masih dalam siasatan, dan polis dalam proses mengenal pasti sekiranya kejadian berkenaan benar-benar berlaku.

"Kita akan buat siasatan telus sepertimana siasatan lain, tiada SOP (prosedur operasi standard) yang lain, kita akan jalankan siasatan telus tanpa mengira subjek berkenaan adalah warga polis sendiri," katanya kepada pemberita pada program High Profile Policing PDRM Perak sempena sambutan Thaipusam peringkat negeri di Ipoh hari ini.

Ditanya dakwaan pengguna media sosial yang mempertikai tiada sesiapa ditahan dalam kes itu, Azizi berkata terdapat beberapa perkara yang perlu disahkan oleh pihak polis terlebih dahulu.

Di parkir sebuah pasar raya

Semalam, media melaporkan pelajar berumur 16 tahun itu mendakwa kejadian berlaku di kawasan parkir di sebuah pasar raya di daerah Perak Tengah pada bulan Julai dan Oktober lepas.

Sementara itu merujuk kepada kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada 10 Jan lepas, Azizi berkata polis telah menerima laporan rasmi daripada pihak bomba, yang mengesahkan bahawa bahan bakar yang digunakan suspek adalah petrol.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS