Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Daim dah keluar hospital, mungkin didakwa minggu depan

Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin sudah dibenarkan keluar dari hospital hari ini dan membuka kemungkinan untuk dia didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah minggu depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata perkembangan terkini membabitkan Daim dimaklumkan kepada agensi antirasuah terbabit oleh peguamnya.

Kata Azam peguam terbabit memberitahu perkara itu kepada pegawai penyiasat SPRM pagi tadi.

“Peguamnya telah berkomunikasi dengan IO (pegawai penyiasat) saya memberitahu Daim sudah keluar dari hospital.

“Apa yang saya faham, dia dibenarkan keluar awal hari ini.

"Kini IO sedang berkomunikasi dengan peguam Daim untuk menetapkan tarikh untuk dia ke mahkamah.

"Kemungkinan besar minggu depan," kata Azam kepada Malaysiakini.

Pegawai tertinggi antirasuah itu berkata SPRM akan memaklumkan kepada media sebaik sahaja mereka mempunyai tarikh untuk pendakwaan Daim di mahkamah.

Ketika ditanya sama ada SPRM telah dimaklumkan apa yang menyebabkan Daim dimasukkan ke hospital sehingga melambatkan pendakwaannya, Azam berkata, mereka tidak diberitahu.

Katanya ketika ini apa yang lebih penting ialah SPRM sudah boleh menetapkan tarikh untuk kes tersebut

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa SPRM telah menerima lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap Daim minggu lalu.

Suruhanjaya itu merancang untuk mendakwa Daim dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan, iaitu atas dakwaan kegagalan untuk mengisytiharkan beberapa hartanah yang Daim dan isterinya mempunyai kepentingan.

Bagaimanapun, pendakwaan terhadap hartawan berusia 85 tahun itu terpaksa ditangguhkan kerana dia berada di hospital, yang didakwa Azam atas sebab yang tidak jelas.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu juga kesal terhadap dakwaan kegagalan doktor Daim untuk berterus-terang dengan SPRM mengenai sebab Daim dimasukkan ke hospital.

Kemudian pada hari yang sama, isteri Daim, Na’imah Abdul Khalid mengeluarkan kenyataan akhbar mengatakan bahawa Daim bersedia berdepan sebarang pertuduhan jenayah dan dia tidak menjadikan keberadaannya di hospital sebagai alasan untuk mengelak daripada dibawa ke mahkamah.

Pada Selasa, Na'imah didakwa di mahkamah kerana gagal mematuhi notis SPRM yang memerlukannya mendedahkan asetnya.

Aset yang didakwa tidak didedahkannya melibatkan beberapa tanah, hartanah dan kenderaan Mercedes-Benz.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dibicarakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS