Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | R Yuneswaran muncul sebagai ahli parlimen buat kali pertama pada PRU ke-15 lalu selepas menewaskan tiga pencabarnya di Segamat.

Dibesarkan di Lembah Klang, dia kemudian berpindah ke Johor sebagai seorang remaja dan kini mendapati dirinya berdepan cabaran sebagai ahli parlimen.

Kerusi itu pertama kali disandang oleh tokoh kanan dalam Umno-BN, Sardon Jubir, yang berada dalam kabinet selama 15 tahun sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Kerusi Segamat juga menyaksikan sejumlah pemimpin kanan kerajaan pernah bertanding di situ. Misalnya bekas Presiden MCA, Lee San Choon; bekas Timbalan Presiden MIC, mendiang S Subramaniam; dan bekas Presiden MIC dan menteri kesihatan Dr S Subramaniam.

Pada 2018 ketika gelombang sebahagian besar rakyat menolak BN, Segamat dirampas PH melalui calon PKR, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu

Namun Santhara menjadi seorang daripada 11 ahli parlimen PKR yang berpaling tadah dalam Langkah Sheraton yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH di luar pilihan raya.

Langkah itu sekali gus mencemarkan reputasinya dalam kalangan ramai pengundi.

Sebagai bekas pengurus kempennya, Yuneswaran, 37, tiba-tiba menjadi tumpuan apabila dia diminta bertanding di kerusi tersebut.

“Saya pernah menjadi pengarah pilihan raya Santhara pada 2018 dan juga ketua Pemuda PKR Johor. Saya telah bersama parti selama kira-kira 15 tahun, tetapi ia tidak mudah.

"Apabila anda melakukan apa yang dia lakukan, orang memanggil anda pengkhianat," katanya kepada Malaysiakini.

Yuneswaran menjelaskan, sebahagian pengundi juga hilang kepercayaan kepada PKR kerana kecewa apabila mereka memenangkan Santhara untuk melihat perubahan, ahli parlimen terbabit sebaliknya berpaling tadah.

Katanya, memang ada sesetengah pengundi menganggap Santhara berjaya menambah baik Segamat, namun pada masa sama pihak yang lain mengecam ahli parlimen mereka ketika itu kerana berada di New Zealand ketika pandemik Covid-19 melanda.

"Bahkan dia juga memfailkan saman fitnah terhadap (Ahli Parlimen Batu) P Prabakaran mengenai perkara itu.

“Melihat apa yang berlaku, saya rasa kalaupun dia bertanding (sekali lagi pada 2022), saya yakin boleh menang.

"(Tetapi) Santhara tidak bertanding, maka ia menunjukkan dia tidak begitu yakin,” katanya.

Dalam PRU ke-15 lalu Yuneswaran mengekalkan kerusi Segamat dalam genggaman PH apabila menang dengan majoriti selesa, 5,669 undi, mengatasi pencabar terdekat, M Ramasamy dari MIC.

Calon PN, P Poobalan, berada di tempat ketiga manakala calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey, bukan saja jauh ditinggalkan di tempat keempat malah hilang wang deposit.

Pada mulanya, Yuneswaran mengakui dia tidak menjangkakan untuk menambah majoriti kemenangan Santhara sebelum itu, iaitu 5,476 undi.

Menceritakan pengalamannya, Yuneswaran berkata, tidak mudah untuk berdepan dengan Ramasamy kerana ahli politik MIC itu merupakan bendahari parti terbabit.

Calon itu juga, katanya kukuh dari segi kewangan.

"Bagaimanapun, saya memutuskan untuk tidak memikirkan tentang lawan saya sebaliknya cuma fokus kepada apa yang boleh kami lakukan untuk menang," katanya.

Yuneswaran juga ada cabaran lain. Sebelum bertanding di Segamat dia memberikan khidmat kepada orang ramai di kawasan parlimen lain, iaitu di Tebrau.

“Tiba-tiba presiden parti (Anwar Ibrahim) telefon dan minta saya bertanding di sini.

"Ia berlaku tidak lama selepas pilihan raya negeri Johor yang menyaksikan kami mencatatkan prestasi yang sangat teruk.

"Justeru kami menjangkakan bahawa ini akan menjadi lebih teruk tetapi saya akhirnya berjaya memenangi kerusi Segamat untuk parti,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS