Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada kemelut, lantikan JPKK bawah kementerian saya - Zahid

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak timbul sebarang kemelut mahupun masalah berhubung pelantikan 373 jawatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Selangor.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata kerana kuasa melantik ahli JPKK adalah bawah kuasa kementeriannya dan tidak melibatkan kerajaan negeri.

“Tidak ada kemelut (pelantikan JPKK).

“Ini tawaran daripada KKDW. Bukan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Kajang, Selangor, hari ini.

Megat Zulkarnain

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas perkembangan lantikan ahli JPKK di Selangor yang dituntut Umno setelah menolak tawaran 20 ahli majlis di negeri itu.

Terdahulu, Umno Selangor mengumumkan keputusan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu kepada sekutunya PH.

Sebaliknya, Umno Selangor mahu jawatan JPKK di negeri itu.

Pengerusinya Megat Zulkarnain dipetik berkata keputusan itu membuktikan Umno Selangor tidak tamak jawatan sebagaimana dakwaan yang tersebar.

Sementara itu, Zahid mengesahkan perbincangan melibatkan dua peringkat iaitu kepimpinan tertinggi parti kerajaan dan kepimpinan negeri.

“Sebenarnya perbincangan diadakan oleh pengerusi BN Selangor Megat Zulkarnain dengan menteri besar Selangor (Amiruddin Shari) sendiri.

“Saya juga adakan perbincangan dengan perdana menteri (Anwar Ibrahim) perkara ini pasti akan dapat diselesaikan dengan waktu yang singkat mungkin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS