Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cabar enakmen syariah Kelantan: Keputusan mahkamah 9 Feb

Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan pada 9 Feb ini mengenai cabaran undang-undang oleh seorang ibu dan anaknya terhadap 18 pertuntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Surat daripada Istana Kehakiman kepada peguam keluarga firma guaman Tetuan Surendra Ananth menyatakan keputusan akan disampaikan di mahkamah terbuka pada 9 pagi pada 9 Feb.

Pada 20 Nov tahun lepas, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujahan daripada pihak berkaitan.

Hakim Mahkamah Persekutuan lain yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Demonstrasi membantah petisyen yang dikemukan peguam dan anaknya.

Pada mulanya, peguam kelahiran Kelantan Nik Elin Abdul Rashid dan anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, telah memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar 20 peruntukan jenayah Syariah negeri, tetapi sejak itu mereka telah menggugurkan dua daripada peruntukan itu daripada cabaran itu.

Dua peruntukan jenayah syariah negeri yang digugurkan daripada cabaran undang-undang mengenai tuntutan palsu dan perjudian.

Kes itu telah menarik perhatian pihak tertentu, dengan pemimpin PN sebelum ini mengisytiharkan penganjuran demonstrasi untuk membantah kes itu.

Responden utama yang menjadi sasaran tindakan undang-undang itu ialah kerajaan negeri Kelantan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS