Dr Mahathir Mohamad tidak layak untuk bercakap tentang membalas budi khususnya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata setiausaha politiknya Azman Abidin.
Dia mendakwa bekas perdana menteri itu telah pun merancang plot terhadap Anwar seawal minggu pertama susulan penubuhan kerajaan PH pada Mei 2018.
"Selepas PH berjaya tubuhkan kerajaan pada 10 Mei 2018, Mahathir mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin PH. Dalam mesyuarat itu, ketua parti diberikan mandat untuk menentukan dan menamakan calon menteri kabinet yang mereka fikirkan sesuai.
"Syaratnya adalah ketua parti akan serahkan nama calon. Dan Tun Mahathir selaku perdana menteri akan menentukan portfolio menteri.
"Tetapi, apabila Tun Mahathir mengumumkan senarai menteri, dia mengumumkan empat pemimpin PKR sebagai menteri yang sebenarnya tidak pun dicalonkan oleh presiden PKR Wan Azizah (Wan Ibrahim).
"Kesimpulannya, dia telah mengkhianati dan merancangkan plot terhadap Anwar dengan melantik pemimpin-pemimpin PKR yang tidak sehaluan dengannya," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahathir yang membidas Anwar ekoran tindakan pihak berkuasa menyiasatnya ketika ini.
Mahathir menganggap Anwar tidak mengenang budi kepada dia dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Bekas perdana menteri itu menyindir tindakan kerajaan mengadakan siasatan adalah sebagai 'balasan' atas bantuan yang diberikannya - bersama Daim - semasa membantu Anwar pada 2018 untuk pilihan raya kecil Port Dickson (gambar atas).
"Apabila saya menjadi perdana menteri kali kedua, sepanjang tempoh saya, dia (Anwar) dibebaskan (dari penjara).
"Kemudian dia mahu bertanding dalam pilihan raya (pilihan raya kecil di Port Dickson).
"Saya dan Daim berkempen untuknya, tetapi sekarang dia mahu menyiasat saya kerana salah laku," kata Mahathir pada sidang media khas baru-baru ini.
Azman bagaimanapun tidak mendedahkan nama empat pemimpin yang tidak dicalonkan oleh Wan Azizah itu.
Pada 2018, PKR mendapat tujuh menteri kabinet termasuk Wan Azizah dilantik sebagai timbalan perdana menteri merangkap menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Antara lain ialah, Mohamed Azmin Ali (menteri ekonomi), Zuraidah Kamaruddin (menteri perumahan dan kerajaan tempatan), Saifuddin Nasution (menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna), Saifuddin Abdullah (menteri luar negeri), Baru Bian (menteri kerja raya) dan Dr Xavier Jayakumar (menteri air, tanah dan sumber asli).
Kemudian pada Feb 2020, Azmin, Saifuddin Abdullah, Zuraida dan Baru Bian mengumumkan keluar dari PKR menerusi Langkah Sheraton mengakibatkan kerajaan PH tumbang selepas mentadbir selama 22 bulan sahaja.
Baru Bian tidak menyertai kerajaan PN di bawah perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 2020 sebaliknya menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang merupakan parti pembangkang.
Sementara itu, Xavier pada Mei 2021 mengumumkan keluar PKR dan menyokong PN selepas terpalit dengan dakwaan rasuah.
Dalam perkembangan berkaitan, Azman mendakwa selain Anwar dan PKR, Mahathir juga mengkhianati rakan PH lain selepas mengumumkan meletak jawatan sebagai perdana menteri tanpa mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan PH.
"Matlamatnya, adalah dia menjadi perdana menteri semula dengan sokongan dengan semua parti dan tidak perlu menyerahkan pentadbiran kepada Anwar seperti dijanji olehnya dalam ketika bersama PH sebelum PRU14.
"Kita semua tahu, Langkah Sheraton adalah untuk tidak menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Anwar.
“Kita semua tahu siapa dalangnya. Tapi, dalang itu sendiri dikhianati oleh pengikutnya sehingga tidak dapat kembali ke tampuk kuasa.
"Bertanding di bawah tiket PKR, menggunakan jentera dan sokongan PH menjadi PM. Kemudian, cuba menumbangkan PH. Inilah perangai Mahathir.
"Jadi, saya percaya Mahathir merupakan insan paling tidak layak bercakap mengenai balas budi," katanya.