Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Daim sedia dituduh di mana-mana saja, walaupun hospital'
Diterbitkan:  Jan 24, 2024 12:27 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Hartawan Daim Zainuddin sedia berdepan sebarang pertuduhan jenayah dan tidak menggunakan alasan dirawat di hospital bagi mengelak dibawa ke mahkamah, kata isterinya.

Na'imah Abdul Khalid justeru menolak kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa Daim tidak dapat dituduh di mahkamah kerana sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Kenyataan Azam Baki ini tidak benar.

“Saya boleh sahkan bahawa saya atau pasukan guaman tidak pernah dimaklumkan bahawa Daim akan didakwa atas sebarang kesalahan. 

“Kami hanya diberitahu bahawa kenyataannnya akan dirakam. Baru hari ini ketika membaca laporan media saya tahu Daim akan didakwa,” katanya.

Na'imah Abdul Khalid

Terdahulu Azam memberitahu Malaysiakini bahawa mereka masih belum dapat meneruskan pendakwaan terhadap Daim kerana dia berada di hospital atas sebab kesihatan yang tidak dinyatakan.

Dia juga berkata tidak akan menuduh Daim di hospital dengan membawa hakim ke sana.

Menurut Azam, Daim akan berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan gagal mengisytiharkan hartanah yang dimiliki bersama isterinya.

Semalam, Na'imah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan  gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan aset dan mengaku tidak bersalah.

Sementara itu, Na'imah berkata Azam cuba membayangkan Daim mengelak daripada berdepan pertuduhan serta memperkecilkan komitmen doktor yang bertugas.

Azam Baki

“Biar saya sebut dengan jelas bahawa Daim sedia berdepan sebarang pertuduhan, tidak kira di mana-mana dan akan bersungguh-sunggu mempertahankan diri berdasarkan undang-undang, kata Na'imah.

Katanya, tertakluk kepada kebenaran hospital, Daim sedia berdepan “pendakwaan politik” walaupun di hospital.

Dia bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk memutuskannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS