Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'SPRM dapat izin dakwa Daim, tapi tangguh atas alasan kesihatan'

SPRM telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa bekas menteri kewangan Daim Zainuddin di mahkamah di bawah Akta SPRM sejak minggu lalu, menurut Azam Baki.

Bagaimanapun, ketua pesuruhjaya SPRM berkata mereka masih belum dapat meneruskan pendakwaan kerana Daim berada di hospital atas sebab kesihatan yang tidak dinyatakan.

Azam Baki

Bercakap kepada Malaysiakini, Azam meluahkan kekecewaannya terhadap doktor yang merawat Daim yang didakwa gagal berterus-terang dengan pegawai penyiasat SPRM mengenai mengapa bekas menteri itu dianggap tidak mampu untuk hadir di mahkamah.

“Izin nak dakwa tu dah dapat seminggu lebih dah. Dan lepas dapat izin mendakwa tu kita maklum peguam dia nak bawa ke mahkamah.

“Kita (kemudiannya) dimaklumkan dia (Daim) dimasukkan ke sebuah hospital (swasta).

“Kita buat observation (pemerhatian) dan mendapat maklumat bahawa dia masuk hospital sebelum kita dapat izin mendakwa lagi.

Itu betul la. Tetapi (apabila) kita bertanya doktor bila dia boleh keluar hospital, doktor pun tak nak bagi jawapan yang betul,” kata Azam.

Daim Zainuddin

Menurut Azam, Daim dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa hartanah yang dimiliki bersama isterinya.

Katanya, pilihan terakhir buat SPRM adalah membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan Daim supaya pertuduhan dapat dibacakan.

“Tapi itu bukan pilihan kami yang sebenarnya. Kalau tak masuk hospital minggu lalu kita dah tuduh dah.

“Kita dah berhubungan dengan peguamnya,” katanya lagi.

Semalam, isteri bekas menteri kewangan itu, Na'imah Abdul Khalid, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan  gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000, jika didapati bersalah.

 Na'imah didakwa melakukan kesalahan itu dengan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.

Bagaimanapun, Na'imah, 66, mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur.

Na’imah berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS