Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bernama junjung titah Sultan Selangor supaya perangi berita palsu

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan supaya penyebaran berita palsu diperangi secara menyeluruh.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Bernama selaku agensi di bawah kementeriannya menjunjung tinggi titah baginda yang menekankan agar organisasi media terbabit memperhebatkan usaha memerangi berita palsu yang disifatkan sebagai satu daripada masalah yang perlu ditangani dengan tuntas.

"Mewakili Bernama saya menjunjung kasih atas titah nasihat Tuanku dan bersama barisan warga kerja Bernama kita akan usahakan untuk perangi fitnah dan penyebaran berita palsu ini secara menyeluruh, termasuk dengan kerjasama daripada rakan media yang lain.

"Dalam hal ini, Bernama juga menyembah maklum mengenai portal khas dikenali MyCheck Malaysia (MyCheck) yang diwujudkan sebagai antara platform menyemak kesahihan fakta yang tular di media sosial," katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan berangkat melawat ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut ahli parlimen Lembah Pantai itu. dia bersama pengurusan tertinggi Bernama akan meneliti keperluan memperkukuh unit MyCheck bagi memperhebatkan lagi usaha menangkis penyebaran berita palsu agar ia boleh bergerak seiring dengan pasukan sebenarnya.my yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan segmen Biar Betul! terbitan RTM.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata selain inisiatif yang dilaksanakan agensi media milik kerajaan, usaha membanteras penularan berita palsu juga menuntut pembabitan menyeluruh organisasi media lain agar tindakan itu dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya turut menjunjung tinggi titah baginda yang menyarankan Bernama menjadi sumber rujukan yang berfungsi seperti arkib atau muzium dalam merakamkan perkembangan bidang kewartawanan negara.

"Kita tidak ada satu tempat untuk menunjukkan perkembangan bidang kewartawanan… memandangkan Bernama telah wujud sejak 1968, maka sudah pasti banyak segi evolusi perkembangan dunia kewartawanan, Bernama pastinya sangat-sangat terlibat.

"Dengan pelbagai peralatan dimiliki, daripada hibrid kepada digital, Bernama sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada arkib atau muzium yang memaparkan perkembangan dunia kewartawanan di Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata dia akan membawa Memorandum Jemaah Menteri berhubung keputusan mesyuarat jawatankuasa pelaksanaan 5G - antaranya menyentuh penubuhan rangkaian kedua 5G - untuk perhatian kerajaan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Katanya penubuhan rangkaian kedua 5G menjadi antara keputusan perlu diputuskan dalam mesyuarat itu supaya sebarang perkembangan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini - daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian - dapat diumumkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.

"Semalam, saya mengadakan pertemuan dengan semua ketua pegawai eksekutif syarikat telekomunikasi dan mereka memaklumkan untuk membangunkan rangkaian kedua.

"Ia tidak akan memakan masa yang lama, mungkin sekitar 12 ke 18 bulan sahaja.

"Dalam hal ini, insya-Allah saya akan bawa Memorandum Jemaah Menteri ke perhatian jemaah menteri dalam masa terdekat agar satu keputusan boleh dicapai membolehkan penubuhan rangkaian kedua 5G diputuskan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata semua pengendali rangkaian mudah alih bersetuju tiada caj tambahan akan dikenakan terhadap pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G.

"Saya sudah bertemu pengendali syarikat telekomunikasi dan mereka bersetuju tidak kenakan sebarang bayaran ke atas pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G," katanya merujuk kepada isu segelintir pengendali rangkaian mudah alih mengenakan caj tambahan kepada pengguna masing-masing.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS