Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah syarikat disyaki rasuah penjawat awam ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam di beberapa jabatan kerajaan di Melaka bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM639,104.

Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad berkata lelaki berusia 60-an itu ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Melaka kira-kira 12 tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

"Penahanan dibuat ekoran suspek dipercayai merasuah penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan di Melaka sekitar 2021 hingga 2023 dengan membayar belasan hingga puluhan ribu ringgit bagi memastikan kerja-kerja pembekalan.

"SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam pelbagai jabatan untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan," katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Dia berkata rantaian kartel rasuah melibatkan jabatan kerajaan perlu dinoktahkan bagi mengelak kerja-kerja monopoli projek pembekalan di jabatan kerajaan Melaka terus berlaku.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS